Jumlah kes cerai bertambah sejak PKP dilaksanakan

0

Kes perceraian dalam negara merekodkan peningkatan luar biasa sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Demikian memetik penjelasan Pegawai Psikologi Kanan Pusat Kaunseling, Faezah Nayan pada program dalam talian bertajuk “Kesejahteraan Psikologi Dalam Normal Baharu” anjuran Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Perpati) Universiti Utara Malaysia (UUM).

Faezah dalam kenyataannya berkata, masalah kewangan merupakan penyebab utama berlakunya perceraian apabila ramai suami hilang punca pendapatan kerana diberhentikan kerja akibat COVID-19.

“Kehilangan pekerjaan mencetuskan masalah kewangan dalam keluarga.

“Lebih parah apabila suami sebagai ketua keluarga diberhentikan kerja menyebabkan tiada wang untuk mendapatkan keperluan asas seperti makanan, susu anak, lampin dan sebagainya.

“Masalah kewangan akan mencetuskan konflik dan pergaduhan antara suami isteri disebabkan tekanan dan akhirnya membawa kepada ketidaksefahaman di antara satu sama lain,” katanya.

Menurutnya kebanyakan kes perceraian yang berlaku melibatkan kumpulan B40 seperti peniaga kecil-kecilan, pembantu kedai makan, pekerja kilang dan mereka yang bekerja sendiri.

“Apabila ada masalah kewangan mereka terpaksa menjual apa yang ada seperti telefon bimbit, beg tangan mahal, kasut sukan berjenama demi meneruskan kelangsungan hidup.

“Jadi apabila tiada telefon bimbit bukan sahaja akan menyukarkan komunikasi dengan orang lain, bahkan juga menyebabkan anak-anak tidak dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

“Jadi masalah ini saling berkait dan rentetan daripada masalah kewangan boleh menyebabkan konflik hubungan suami isteri yang tidak berkesudahan, akhirnya mencetuskan perceraian atau meruntuhkan institusi kekeluargaan,” tambahnya.

Faezah meramalkan trend peningkatan perceraian ini akan berterusan apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di beberapa negeri.

Oleh itu, tambahnya, adalah penting untuk mereka mencari penawar agar tidak terjadinya perkara sebegini iaitu dengan cara pengendalian psikologi.

Berdasarkan Teori Hierarki Maslow, faktor yang menyumbang kepada kesejahteraan psikologi membabitkan lima keperluan manusia iaitu keperluan asas, keperluan keselamatan, keperluan kasih sayang, keperluan pengharapan dan keperluan sempurna kendiri.

“Apabila kelima-lima keperluan tersebut tidak dipenuhi maka wujudlah psikologi yang tidak sejahtera iaitu rasa sedih, kecewa, tertekan, murung, bercelaru, bimbang dan trauma,” ujarnya.

Oleh kerana itu, orang ramai perlu meningkatkan kesejahteraan psikologi iaitu merujuk mood dan emosi yang positif seperti gembira, bahagia, bersemangat, rendah emosi negatif dengan kualiti kehidupan yang merangkumi kualiti pekerjaan dan kekeluargaan serta berfungsi secara positif iaitu memiliki autonomi serta makna serta tujuan untuk hidup.

Menerangkan lebih lanjut, kesejahteraan psikologi bermaksud tiada penyakit mental di mana keadaan seseorang yang berfungsi pada tahap penyesuaian emosi dan tingkah laku yang memuaskan atau keupayaan individu untuk menikmati kehidupan selain mewujudkan keseimbangan antara aktiviti kehidupan serta usaha untuk mencapai daya tahan psikologi.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply