Jom ronda-ronda di Kuala Gula

0

Kuala Gula merupakan sebuah perkampungan nelayan terletak di persisiran pantai utara negeri Perak, kira-kira 50 km dari barat laut Bandar Taiping.

Ia adalah sebahagian daripada Hutan Simpan Paya Laut Matang yang terdiri daripada hutan bakau dan kawasan pantai berlumpur.

Berhampirannya ialah Pulau Kelumpang, sebuah pulau yang terdapat di dalam hutan simpan tersebut, disempadani oleh Sungai Selinsing di bahagian tenggara, Sungai Kelumpang di bahagian timur laut dan kawasan laut di bahagian baratnya.

Keseluruhan Pulau Kelumpang dikelilingi oleh pantai berlumpur yang baru terbentuk di mana anak-anak pokok Api-api atau nama saintifiknya Avicennia spp, hidup di atasnya.

Kawasan ini penting sebagai pot mencari makan untuk burung-burung berhijrah dan tempat bertelur untuk burung residen.

Kuala Gula mempunyai pelbagai jenis habitat tanah lembap yang terdiri daripada dataran lumpur, hutan paya bakau, muara sungai dan sistem-sistem sungai, begitu juga dengan ladang-ladang kelapa sawit dan kawasan sawah padi.

Ironinya, Kuala Gula telah terkenal di peringkat tempatan dan antarabangsa terutamanya kepada pemerhati burung ya kerana ini adalah ‘port’ burung air atau burung hijrah.

Yang pasti ramai pelawat tempatan dan antarabangsa seperti Amerika Syarikat, Australia, Eropah, Jepun dan negara lain datang ke Kuala Gula untuk melihat burung-burung ini.

Setiap tahun, pelbagai spesies burung singgah di Kuala Gula dalam laluan migrasinya.

Terdapat beberapa laluan migrasi di dunia dan Malaysia terletak dalam laluan East Asian-Australasian Flyway.

Pelbagai spesies burung air atau burung hijrah boleh ditemui bermula daripada akhir Ogos hingga April setiap tahun.

Spesies-spesies yang dikelaskan sebagai terancam oleh I-U-C-N seperti burung Otak Upeh atau nama saintifiknya Mycteria cinerea, burung Otak Kecil atau Leptoptilos javanicus, burung Bangau China atau Egretta eulophotes dan burung Kedidi Kaki Hijau atau Tringa nebularia juga boleh didapati di sini.

Kewujudan hutan paya bakau di Kuala Gula menyediakan kawasan persinggahan, kawasan berehat dan kawasan bersarang yang amat sesuai untuk pelbagai spesies tempatan di sini.

Selain daripada itu, beting pasir dan beting lumpur menyediakan pelbagai sumber makanan yang diperlukan oleh burung-burung ini seperti ikan, ketam, siput dan cacing.

Di Malaysia, sebahagian besar daripada spesies burung-burung di sini dilindungi bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara 76/72.

Santuari Burung Kuala Gula menyediakan kemudahan chalet untuk pelancong yang ingin menginap dan merasai keindahan alam semulajadi paya bakau dan didiami oleh beribu-ribu burung yang singgah dari pelusuk dunia.

Santuari Burung Kuala Gula juga menyediakan kemudahan seperti restoran, ekspedisi, bot pelancong serta kemudahan asas yang lain untuk pelancong menikmati cabaran alam semulajadi yang tenang.

Malah pelancong juga boleh bersiar-siar menaiki bot untuk meneropong dan melihat sendiri burung-burung yang singgah di Paya Bakau Santuari Burung Kuala Gula ini.

Dah alang-alang sampai disini, sempat juga  singgah di Pejabat Perhilitan di Kuala Gula menempatkan pelbagai info tentang burung-burung.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply