Jepun, Singapura ucap tahniah kejayaan program vaksinasi Malaysia

0

KUALA LUMPUR – Negara Jepun dan Singapura mengucapkan  tahniah di atas kejayaan program vaksinasi Malaysia.

Penghargaan itu disampaikan Duta Jepun ke negara ini, Hiroshi Oka dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Vanu Gopala Menon, kepada Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau mengunjungi mantan Perdana Menteri ke-8 itu.

Memetik satu kenyataan di Facebook rasmi Tan Sri Muhyiddin, Hiroshi Oka, mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Malaysia atas kejayaan proses vaksinasi yang telah dimulakan sejak awal wabak melanda.

Untuk rekod, ini merupakan kunjungan kedua Oka ke atas Tan Sti Muhyiddin tahun ini setelah kali pertama sewaktu Ahli Parlimen Pagoh itu menjawat jawatan Perdana Menteri pada April lalu.

Tan Sri Muhyiddin menghargai hubungan kedua-dua hala dan kerjasama erat Malaysia-Jepun terutamanya dalam menangani wabak Covid-19 di negara ini.

“Hasil proses vaksinasi yang pantas dan teliti kini dapat dilihat melalui pengurangan kes-kes Covid-19 pada waktu ini.

“Kedua-dua berharap agar kes-kes Covid-19 di Malaysia dan Jepun terus berkurangan dan interaksi rakyat di antara kedua-dua negara dapat disegerakan,” kata kenyataan Muhyiddin menerusi Facebooknya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Vanu Gopala Menon, turut menyampaikan jemputan kepada Tan Sri untuk berucap di 13th Leaders in Administration Programme secara virtual pada bulan November depan.

Ia turut dihadiri oleh penjawat-penjawat awam kanan Singapura dan eksekutif-eksekutif kanan Badan-Badan Berkanun di Singapura.

“Kami berdua bersetuju hubungan dua hala Malaysia-Singapura akan terus diperkasakan dalam pelbagai aspek, terutamanya dalam aspek menangani wabak COVID-19 dan pemulihan ekonomi negara yang terjejas akibat wabak COVID-19.

“Sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, saya menekankan kepentingan pemulihan ekonomi Malaysia dan Singapura dan interaksi rakyat yang terjejas akibat penutupan sempadan kedua-dua negara. Saya telah mencadangkan perbincangan pembukaan sempadan dengan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan kepada rakyat kedua-dua negara yang telah memperoleh vaksinasi penuh dapat dimuktamadkan dengan kadar segera. Untuk rekod, kadar vaksinasi COVID-19 populasi dewasa kedua-dua negara kini telah melebihi 80 peratus.

“Selain menyentuh situasi politik negara, TYT Vanu Gopala Menon turut menyampaikan jemputan kepada saya untuk berucap di 13th Leaders in Administration Programme secara virtual pada bulan November 2021, yang akan turut dihadiri oleh penjawat-penjawat awam kanan Singapura dan eksekutif-eksekutif kanan Badan-Badan Berkanun di Singapura” katanya di Facebook.

–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply