Jenazah Mejar Mohd Zahir selamat dikebumi

0
Foto: Berita Harian

IPOH 5 Sept 2019 : Jenazah Mejar Mohd Zahir Armaya yang meninggal dunia akibat terkena tembakan dalam demonstrasi di Kem Lok Kawi, Sabah, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun, di sini, jam 8.45 pagi tadi.

Memetik laporan Berita Harian, jenazah Mohd Zahir dikebumikan dengan penuh istiadat ketenteraan dalam suasana sayu dan pilu.

Ia dihadiri kira-kira 2,000 tetamu termasuk ahli keluarga, sanak-saudara dan rakan terdekat.

Suasana mendung dan gerimis selepas hujan lebat awal pagi, mengiringi pengebumian jenazah yang bermula kira-kira jam 8.20 pagi.

Turut hadir memberi penghormatan, Panglima 21 Grup Gerak Khas (GGK), Mejar Jeneral Datuk Hasan Ali dan Panglima 2 Briged, Brigadier Jeneral Malek Razak Sulaiman.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa ke tanah perkuburan berkenaan dari kediaman ibu mertuanya di Taman Perpaduan, di sini pada jam 7.45 pagi.

Sebelum itu, jenazah Mohd Zahir dibawa keluar dari Masjid Al Fatih, Kem Wardieburn, Setapak, Kuala Lumpur pada jam 2.23 pagi tadi dengan disolatkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Pengurusan (TKPP), Brigadier Jeneral Datuk Mustafa Abdul Manap sebelum dibawa ke Ipoh.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply