“Jangan tunggu bacaan IPU 500 baru nak isytihar darurat” – Dato’ T Murugiah

0

Kerajaan tidak perlu menunggu bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sehingga 500 untuk mengisytiharkan darurat bencana berikutan keadaan jerebu yang melanda negara ini.

Naib Presiden MIC, Datuk T. Murugiah berkata, kerajaan harus memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat berada ditahap yang baik dan selamat tanpa memperjudikan nyawa mereka.

“ Ini membahayakan kesihatan rakyat kerana, bacaan Indeks Pencemaran Udara – IPU yang dicatatkan oleh Jabatan Alam Sekitar daripada 200 hingga 300 adalah Tidak Sihat melakukan aktiviti luar dalam jangka masa yang lama, manakala bacaan IPU 300 ke atas pula Berbahaya, bayangkan jika sudah mencecah 500, sudah tentu membahayakan nyawa rakyat Malaysia”, tegas Dato Murugiah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Wan Azizah Wan Ismail yang mengumumkan bahawa kerajaan akan mengisytiharkan darurat pada bacaan IPU mencecah 500, hari ini.

Ujarnya, setakat ini, kes pesakit menghidap asma, demam dan batuk semakin meningkat di hospital dan klinik di seluruh negara.

“Jika kerajaan mahu menunggu hingga bacaan IPU mencecah 500 baharu mahu mengisytihar darurat sudah terlewat, mereka harus peka dengan nasib rakyat”, katanya.

Tambahnya, apa yang penting ketika ini, kerajaan harus memperbanyakkan pembenihan awan di semua kawasan terjejas.

Ia bagi membantu masalah jerebu ini dapat diatasi dan rakyat boleh menjalani kehidupan seperti biasa.

” Saya harap kerajaan tidak memandang isu pembenihan awan ini sebagai remeh kerana ia penting bagi memastikan keadaan terkawal dan rakyat boleh menjalani kehidupan seperti biasa”, tambahnya lagi.

Leave a Reply