Jangan Sebar Berita Palsu – Nasharudin Mat Isa

0

Oleh : Nasharudin Mat Isa

“Jgn keluar rumah, batalkan hasrat balik kampung. Tangguhkan aktiviti sosial & majlis kenduri kahwin sehingga keadaan pulih. Jgn khuatir tentang bekalan makanan & jgn sebar berita palsu” demikian titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sebagai rakyat, kita semua menjunjung kasih diatas keperihatinan Tuanku dengan kata kata nasihat ini dan juga apabila melihat Tuanku sendiri turun padang meninjau rakyat baginda dibawah.

Saya telah menyentuh tentang isu ‘jangan keluar rumah’, ‘balik kampung’ dan juga ‘penglibatan dalam aktiviti sosial’ pada dua artikel saya sebelum ini. Hari ini saya ingin menyentuh pula salah satu kandungan titah Tuanku Yang Di Pertuan Agong iaitu yang berkaitan dengan penyebaran berita palsu. Perkara ini juga telah disentuh oleh YB Menteri Pertahanan selaku menteri kanan kluster keselamatan dalam sidang media beliau pada pagi tadi.

Didalam suasana kita semua sedang berada di kediaman masing masing dan aktiviti seharian yang agak terbatas, kehendak terhadap maklumat menjadi semakin aktif. Selain dari berdoa, membaca Al Quran, menunaikan solat, membaca buku atau apa saja aktiviti lain yang bermanfaat bersama dengan ahli keluarga, rasanya siaran TV, komputer riba dan talipon bimbit tidak lekang dari tangan masing masing.

Saya seperti keseluruhan ahli masyarakat yang lain sentiasa sahaja menanti pengumuman pengumuman baru yang akan dibuat oleh pihak yang berwajib. Setiap warganegara yang prihatin dan bertanggung jawab sepatutnya hanya menerima dan akur kepada perintah, arahan dan pemberitaan yang datang dari sumber yang sahih.

Tahniah diucapkan kepada kerajaan yang telah menghadkan pemakluman tentang isu COVID-19 hanya kepada kenyataan dari MKN samaada yang di buat oleh YAB PM sendiri atau YB Menteri Menteri Kanan mengikut kluster masing masing.

Namun demikian, pada ketika kita semua sedang berusaha mengikut kapasiti
masing masing bagi mengekang penularan wabak ini, tidak kurang juga mereka yang tidak bertanggung jawab mengambil kesempatan untuk menyebarkan berbagai berita dan lapuran yang tidak tepat, palsu, fitnah yang kemudian nya menimbulkan keresahan, panik dan kegusaran dikalangan rakyat.

Media sosial menjadi alat utama yang digunakan untuk penyebaran maklumat maklumat sedemikian. Hampir kesemua aplikasi rangkaian sosial kelihatan tidak terlepas dari menjadi alat kepada tangan tangan yang tidak bertanggung jawab.

Malang nya pula, terdapat juga ramai dari kalangan ahli masyarakat yang mudah percaya kepada maklumat maklumat yang tidak tepat tersebut. Natijah nya berlaku lah reaksi reaksi balas seperti ‘panic buying’, bergegas balik kampung dan sebagai nya.

Bukan sahaja reaksi yang berkaitan dengan kehidupan harian yang telah terkesan, malah hal hal yang berkaitan dengan agama dan ibadat pun telah dimanupulasi melalui fatwa fatwa dan tafsiran tafsiran yang tidak bersandar kepada fiqh yang betul.

Antara nya adalah isu solat Jumaat boleh dilakukan dirumah, sedangkan jumhur ulama dan majlis fatwa dibeberapa negara telah menetapkan supaya solat Jumaat pada waktu ini diganti dengan solat zohor dirumah masing masing kerana Solat Jumaat itu ada syarat syarat nya yang perlu dipenuhi. YB Menteri di JPM ( Hal Ehwal Agama) telah mengeluarkan panduan yang cukup jelas akan hal ini.

Tidak kurang juga yang mentafsirkan ‘serah pada takdir’ dan ‘tawakal pada Allah’ dengan sewenang wenangnya. Betul kita sepatutnya lebih takut kepada Allah dari wabak COVID-19, tetapi Allah SWT juga yang telah mengarahkan kita untuk berusaha terlebih dahulu kemudian baru lah bertawakal.

Firman Allah SWT;

فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

‘…Apabila kamu telah berazam maka bertawakal lah, sesungguhnya Allah mengasihi mereka yang bertawakal’. Surah Al Imran Ayat 159.

Makna nya Allah meminta kita untuk berazam terlebih dahulu, dalam konteks ini jaga kesihatan dulu, kuaratinkan diri,ambik dulu tindakan tindakan kesihatan yang sewajarnya, kemudian baru lah bertawakal kepada Allah SWT.

Sehubungan dengan sebaran dan menerima sesuatu berita pula, Allah SWT juga telah mengajar kita ketika menerima sesuatu berita melalui firman Nya;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ (6)

‘Wahai orang orang yang beriman, sekiranya datang kepada kamu seorang fasik membawa berita, bertabayun (periksa dan teliti) lah dahulu supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, dengan sebab kejaholan kamu mengenai nya sehingga kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan.’

Jelas didalam ayat ini bagaimana Allah SWT mengarahkan kepada orang orang yang beriman untuk mengamalkan ‘tabayyun’ iaitu menyelidik terdahulu sesuatu berita yang sampai kepada nya samaada benar atau tidak dan juga samaada ianya adalah dari sumber yang betul atau palsu.

Kepada penyebar berita palsu pula , Allah SWT telah memberikan amaran keras Nya melalui firman Nya;

إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ و الله يعلم و انتم لا تعلمون.

‘ Sesungguhnya mereka yang suka menghebahkan tuduhan (berita) yang buruk dikalangan orang orang yang beriman, mereka akan beroleh azab pedih yang tidak terperi sakitnya didunia dan di akhirat, sesungguhnya Allah maha mengetahui sedang kamu tidak mengetahui sesuatu.’ Surah An Nur Ayat 19.

Dalam keadaan sekarang, sama sama lah kita menjadi warga yang bertanggung jawab untuk tidak menyebar berita yang tidak tepat, bersifat fitnah dan tidak dari sumber yang rasmi. Jadi lah kita warga yang jujur dan bertanggung jawab dan itu mungkin menjadi penyebab untuk Allah SWT menghapuskqn wabak ini daripada kita semua.

Nasharudin Mat Isa
Bandar Bukit Mahkota
Kajang.

*Datuk Dr. Nasharuddin Mat Isa adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM). Di peringkat parti, beliau merupakan mantan Timbalan Presiden PAS (2005-2011).

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili The Malaya Post.

*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply