Jangan ‘Musnahkan’ Harapan Itu, warkah terbuka untuk Dr Maszlee Malik

0

 

Perkembangan terkini berkaitan pergabungan UniSZA dan UMT benar² memberi kesan mendalam kepada warga kedua² institusi ini, orang Terengganu dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Umum sudah mengetahui bahawa antara sebab utama yang mendorong kepada usaha menggabungkan dua institusi ini ialah penjimatan kos, membuka ruang kerjasama lebih baik, kebajikan staf dll.

Apa yang berlaku sekarang ini iaitu bantahan dari kedua belah pihak khususnya adalah seperti dijangkakan. Inilah kesan apabila engagement with stakeholders tidak dilakukan dengan baik.

Persoalannya sudahkan kajian menyeluruh dan telus dibuat terhadap idea dan impak usaha ini khususnya dalam aspek manfaat pergabungan dari perspektif penjimatan kos, potensi kerjasama, kebajikan staf, dan perkembangan ilmu dll?

Jika sudah maka sewajarnya ia dikongsikan dengan seluruh warga kedua² institusi ini dan rakyat Malaysia amnya.

Namun jika tidak, sewajarnya kajian itu perlu dilakukan terlebih dahulu dan dapatannya wajar diberi ruang untuk dibahaskan oleh tokoh² perdidikan, industri dan rakyat sebaik²nya. Barulah kerajaan khususnya KPM dianggap sebagai menggunakan pendekatan inklusif.

Secara umumnya kerajaan wajar melihat lebih jauh dari alasan² seperti telah dimaklumkan kepada umum di media² dan berikut antara justifikasi yang ingin disarankan.

Persoalan 1:
Perlukah sampai menggabungkan 2 buah institusi ini atas tujuan penjimatan Kos?

Benar ada sejumlah kos dapat dijimatkan hasil penstrukturan ini terutamanya pada awal² tahun penggabungan tetapi ia tidak akan berlaku pada setiap tahun atau sepanjang masa.

Jadi objektif penjimatan melalui penggabungan ini tidak lagi memberi impak besar. Malahan ada pergabungan yang akhirnya membawa implikasi buruk bukan sahaja dari aspek kewangan tetapi aspek seperti kecelaruan identiti, kemusnahan budaya organisasi, kerosakan keyakinan diri dll.

Oleh itu mengapa tidak dilihat dari aspek tanpa penggabungan penjimatan masih boleh dilakukan.

Contohnya cost centre dipastikan beroperasi pada tahap kecekapan tertinggi dan profit centre beroperasi pada tahap optimum.

Di masa yang sama pastikan segala aspek pentadbiran dan operasi yang boleh diautomasi perlu diautomasi kerana ia mampu mengurangkan kos operasi institusi dengan banyak dan berpanjangan.

Malahan kerjasama dan guna sama sumber boleh dibuat antara institusi tanpa perlu bergabung seperti konsep Blue Ocean Strategy antara ATM dan PDRM satu masa dahulu dan kini dalam aspek penggunaan infrastruktur dll. Usaha ini tidak sukar untuk dilakukan jika dirancang dan dilaksana dengan baik.

Di samping itu continuous improvement (kaizen) perlu menjadi budaya baru di semua IPTA di Malaysia.

Di masa yang sama pastikan program² akademik yang ditawarkan oleh kedua² institusi ini benar² menepati keperluan industri dan ianya bukan hanya untuk menarik pelajar tempatan tetapi antarabangsa.

Contohnya UMT perlu ‘bermati-matian’ menjadi pusat pengajian marin terkemuka Asia dan akhirnya dunia dan begitu juga UnisZA sebagai pusat pengajian Islam yang terkemuka. Ini yang kerajaan perlu fokus dan bantu. Sokongan beginilah yang mereka mahukan sejajar visi mereka untuk menjadi universiti terulung dalam kebitaraan masing².

Manakala kemasukan pelajar² antarabangsa amat penting kerana ia mampu menjana pendapatan institusi. Institusi² ini perlu juga memperkembangkan pendidikan eksekutif iaitu program² jangka pendek yang mampu memberi pulangan besar kepada universiti.

Sebagai contoh London School of Economics (LSE) pada musim panas baru² ini mampu menarik sekitar 10,000 peserta untuk program summer school mereka.

Pastinya perkara serupa boleh dilakukan oleh kedua² institusi ini dan IPTA lain dan pastinya tidaklah pada jumlah serupa untuk peringkat permulaan. Perancangan rapi dan tindakan yang betul pasti mampu menghasilkan keputusan yang baik.

Dengan kata lain, kedua² institusi ini perlu membangunkan model perniagaan baru iaitu berorientasi perniagaan dan sewajarnya kedua² institusi ini diberi peluang dan untuk tujuan ini.

Di masa yang sama kedua² institusi ini perlu dipimpin oleh mereka yang berkemahiran untuk membawa institusi² ke era seperti diperkatakan.

Dalam masa sama ahli lembaga pengarah kedua² institusi ini perlu bijak memacu kelangsungan kewangan dan kebitaraan universiti bersama pengurusan universiti yang diketui oleh Naib Canselor dan sewajarnya NC tersebut seorang yang kompetitif untuk menjalankan tugasnya dalam konteks dunia pengajian tinggi hari ini.

Persoalan 2:
Benarkah pergabungan ini membuka ruang kerjasama lebih baik?

Pada dasarnya amat jelas kebitaraan atau fokus kedua² buah institusi ini berbeza. UniSZA berkaitan pengajian Islam manakala UMT berkaitan marin.

Jadi di mana signifikan idea kerjasama dan apakah yang dimaksudkan sebenarnya. Persoalannya adakah perlu sampai bergabung untuk melihat dua bidang berbeza ini menjalin kerjasama.

Sedangkan banyak kerjasama strategik berlaku di seluruh dunia tanpa melibatkan pergabungan institusi terlibat. Shell berkerjasama dengan Ferrari tanpa bergabung. Begitu juga di antara Petronas dan Mercedes Benz.

Apa yang perlu dilakukan untuk merealisasikan idea kerjasama di dua institusi ini ialah objektif yang jelas, komunikasi yang baik dan engagement yang berterusan.

Dengan kata lain, tiada asas kukuh untuk meneruskan idea pergabungan atas faktor ini buat UniSZA dan UMT. Sewajarnya mereka terus didorong menjadi institusi yang menjuarai bidang kebitaraan masing².

Sesungguhnya masih terlalu banyak yang kedua² institusi ini perlu teroka dalam bidang masing² dan jika ada keperluan untuk berkerjasama pastinya boleh dilakukan kerana logistik tidak menjadi isu sama sekali buat dua institusi yang berjiran ini.

Pastinya konsep Blue Ocean Strategy boleh diterapkan di antara 2 institusi ini.

Dengan kata lain idea pergabungan atas sebab untuk memacu kerjasama tidak wajar menjadi alasan sekiranya ia hanya bersifat superficial atau cliche sahaja.

Persoalan 3:
Benarkah pergabungan ini mampu menjadi jawapan kepada kebajikan staf di kedua² institusi?

Jawapan kepada persoalan ini mungkin warga kerja kedua² institusi dan kerjaaan tahu apa yang dimaksudkan. Jika isu staf kontrak, masalah ini berlaku hampir di semua IPTA mahupun agensi kerajaan yang lain. Ini isu dasar kerajaan yang mana pada masa ini mengambil langkah mahu mengecilkan jumlah kakitangan awam. Jadi di mana signifikannya idea kebajikan staf ini dapat diselesaikan melalui pergabungan ini.

Jadi, persoalannya benarkah dengan pergabungan ini mampu menyelesaikan masalah kebajikan staf.

Dari sudut lain, pastinya masalah kebajikan ini boleh diselesaikan jika isunya bukan isu staf kontrak dan isu itu diketahui dengan tepat.

Dengan kata lain, pasti beberapa pilihan dalam bentuk inisiatif untuk menyelesaikannya boleh dikenalpasti.

Seperkara lagi, mengapa sektor pendidikan pengajian tinggi yang kritikal kepada penghasilan sumber manusia, penerokaan dan pembangunan ilmu, pembanguan teknologi, masyarakat dan daya saing negara menjadi ‘mangsa’ atas nama penjimatan.

Amat mendukacitakan apabila pendidikan yang menjadi penentu masa depan negara terpaksa menjadi ‘korban’.

Sewajarnya kerajaan melihat sektor lain yang merugikan negara baik dari aspek dasar dan amalan dijadikan keutamaan dalam agenda penjimatan ini.

Pastinya terdapat banyak agensi kerajaan mahupun GLC yang fungsinya overlap di antara satu sama lain dan ada juga yang tidak kompetitif dan tidak berdaya maju.

Dengan kata lain adalah wajar kerajaan mempertimbangkan semula hasrat pergabungan di antara UniSZA dan UMT ini. Jangan terburu² dalam membuat keputusan.

Fitrah alam yang kecil dibangunkan sehingga menjadi besar dan teguh, dan pasti bukan sebaliknya.

Pastinya kedua² buah institusi ini dibina oleh pemimpin dan warganya dahulu atas semangat, aspirasi dan harapan yang menggunung unruk melihat ia cemerlang dalam bidang kebitaraan masing2.

Untuk itu, Jangan ‘Musnahkan’ Harapan Itu..

Prof. Dr. Haim Hilman

Penolong Naib Canselor UUM COB

#drmaszleemalik
#kpm
#unisza
#umt

Leave a Reply