Sunday, October 17, 2021
Home BERITA ‘Jangan leka dan alpa, amalkan kawalan kendiri’ – Muhyiddin Yassin

‘Jangan leka dan alpa, amalkan kawalan kendiri’ – Muhyiddin Yassin

0
Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya mengamalkan kawalan kendiri serta tidak leka dan alpa kerana sememangnya virus Covid-19 masih berada di dalam komuniti.
Justeru Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan orang ramai untuk melakukan ujian kendiri bagi mengesan jangkitan COVID-19 dengan lebih cepat.

Ia agar isolasi boleh dilakukan dengan lebih efektif dalam usaha memutuskan rangkaian jangkitan virus itu dalam komuniti.

“Alhamdulillah, hari ini, kita sudah mula melihat dan menikmati hasil kerjasama rakyat dan kerajaan serta pengorbanan para petugas barisan hadapan dalam memerangi COVID-19.

“Ambil peluang rentas negeri ini untuk menziarahi orang tua dan keluarga tercinta yang dirindui, mencari rezeki, membantu peniaga-peniaga kecil dengan melancong dalam negeri, membeli barangan buatan tempatan dan makan beraneka makanan yang diidamkan.

“Namun, jangan kita melanggar SOP. Amalkan kawalan kendiri dengan ketat- pakai pelitup muka, elakkan bersentuhan, jaga penjarakan fizikal dan sentiasa membasuh tangan.

“Jika berkemampuan, kerap lakukan ujian kendiri COVID-19 terutamanya dengan kit di rumah sendiri yang dijual dengan harga yang berpatutan kini di farmasi dan atas talian. Ini penting terutamanya kepada mereka yang sering berinteraksi di luar rumah, supaya jangkitan boleh dikesan dengan lebih cepat dan isolasi boleh dilaksanakan dengan efektif,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Bekas perdana menteri ke-8 juga memuji pendirian kerajaan yang terus konsisten untuk memberi vaksin kepada seramai mungkin penduduk di negara ini.

Ia sekali gus mengurangkan beban ke atas sektor kesihatan awam dan membolehkan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dibuka.

“Seperti yang saya sarankan sebelum ini, ketika Kerajaan pimpinan saya mula memberikan kelonggaran kepada mereka yang telah lengkap divaksinasi pada Julai 2021 dan seawal Jun 2020 ketika lengkung jangkitan mula melandai, penilaian risiko kendiri adalah amat penting untuk memastikan penularan virus ini dapat dikawal. Sememangnya tanggungjawab memutuskan rangkaian jangkitan terletak di bahu kita bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Tan Sri Muhyiddi  turut menyarankan rakyat Malaysia bersama-sama meningkatkan penilaian kendiri dengan 5 langkah TRIIS seperti berikut.

1. Test- lakukan ujian saringan COVID-19 jika bersimptom.

2. Report- Laporkan keputusan ujian secepat mungkin di My Sejahtera

3. Inform- Maklumkan kepasa kontak rapat jika positif, dan maklum kepada pihak berwajib dan CAC sekiranya kesihatan merosot apabila dikuarantin di rumah

4. Isolate- lakukan kuarantin dan pengasingan kendiri dengan segera dan berdisiplin

5. Seek- dapatkan rawatan segera di pusat pusat perubatan atau CAC jika keadaan kesihatan semakin merosot.

Katanya selain usaha-usaha Kerajaan dalam kita beralih ke tahap endemik jangkitan COVID-19, penilaian kendiri amat penting untuk kita terus berjaya dan menang menentang musuh kita iaitu virus COVID-19.

“Bagi mereka yang ingin merentas negeri, saya doakan perjalanan anda di permudah dan semoga anda dan keluarga sentiasa dilindungi. Mulakan perjalanan anda dengan doa semoga dilindungi keselamatan anda dan keluarga sepanjang perjalanan dan patuhilah SOP yang ditetapkan.

Kirimkan salam saya kepada ibu dan ayah, saudara mara di kampung,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media khas semalam berkata kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi COVID-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula hari ini.–THE MALAYA POST.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply