Jadikan sejarah Khalifah Saidina Umar Al Khattab sebagai panduan hadapi COVID-19 – Nasharudin Mat Isa

0

Bekas pemimpin politik dan ahli akademik,  Datuk Dr Nasharudin Mat Isa berharap rakyat Malaysia kekal tenang dan tidak panik berdepan dengan situasi wabak berjangkit pandemik COVID-19 dan mematuhi segala polisi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri pada 16 Mac lalu.

“Apa yang dapat saya fahami sebagai orang awam dari Perintah Kawalan Pergerakan yang dikenakan oleh pihak yang berwajib adalah bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 melalui interaksi sesama manusia.

“Kebarangkalian untuk tersebar nya virus itu diantara satu individu kepada individu yang lain adalah tinggi apabila ramai orang berhimpun, berinteraksi, bersalaman, bersentuhan atau pun berada pada jarak jarak yang rapat antara satu sama lain.

“Demi menjaga kemaslahatan semua, maka arahan dikeluarkan untuk kita semua menghadkan pergerakan dan interaksi kita dan melakukan tugasan kita di kediaman masing melainkan sekiranya ada keperluan yang mendesak.

“Tidak ada pula pada arahan tersebut yang menyekat kita untuk langsung tidak boleh keluar rumah contohnya sekira nya kita ingin mendapatkan keperluan rumah dan sebagainya,” kongsi beliau.

Namun sebaliknya berlaku apabila tiba-tiba suasana menjadi panik dan ramai yang bergegas pulang ke kampung dan tidak kurang juga yang berlari ke pasaraya dan mengisi penuh troli dengan mee segera, kopi, gula dan beras seolah olah kita sudah berada dalam keadaan darurat.

“Sekali lagi saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengajak kita semua melihat senario ini dari sudut pandangan agama.

“Antara persoalan yang timbul adalah, kenapa perlu pulang ke kampung. Kita boleh memahami kalau yang pulang itu adalah pelajar IPTA atau IPTS yang harus meninggalkan kampus masing masing walaupun banyak institusi pengajian tinggi tersebut telah pun menyediakan kemudahan untuk mereka serta beberapa panduan juga telah dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi.

“Saya juga telah dimaklumkan bahawa pihak HEP sebuah IPTA telah memaklumkan kepada pelajar yang tidak balik untuk tinggal di kolej dan melaporkan diri kepada pusat penginapan pelajar bagi tujuan pemantauan.

“Setiap kolej yang dibuka menyediakan operasi kafe seperti biasa dan pihak HEP juga akan membantu pelajar yang akan pulang ke kampung, juga sedang diuruskan untuk menaikkan notis di media sosial bagi mengurangkan kerisauan pelajar dan ibu bapa. Alhamdulillah tahniah kepada IPTA tersebut,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, beliau mengimbas beberapa keadaan yang berlaku kelmarin melalui perkongsian warganet di platform media sosial.

“Yang ingin saya bangkitkan adalah bagi yang bukan pelajar. Saya juga difahamkan melalui media sosial bagaimana malam kelmarin ada beberapa laluan keluar dari ibukota telah sesak dengan kenderaan yang hendak ‘balik kampung’.

“Katanya sudah lebih meriah dari suasana ‘balik kampung’ untuk menyambut raya. Keadaan juga agak sesak di TBS.

“Bayangkan mereka itu yang baru sahaja berinteraksi dengan massa samaada di pejabat, pasaraya, kedai mamak atau dimana sahaja yang mungkin sahaja terdedah dengan jangkitan virus yang sedang tular, membawa pulang bersama mereka ke kampung dan berlaku pula interaksi interaksi yang seterusnya,” katanya.

Mengambil contoh melalui sejarah Saidina Umar Al Khattab yang pernah berdepan dengan satu suasana ketika memimpin tentera tentera Islam ke negeri Syam ( Syria sekarang) telah berpatah balik apabila dimaklumkan oleh para sahabat yang lain bahawa kawasan yang hendak mereka masuki tersebut sedang dilanda wabak yang sedang merebak. Salah seorang dari sahabat pejuang yang berada disana pada ketika itu tidak menyenangi tindakan Saidina Umar Radiyallah anhu untuk berpatah balik.

، فقال أبو عبيدة بن الجراح: أفراراً من قدر الله ؟ فقال عمر لو غيرُك قالها يا أبا عبيدة نعم ، نفرُّ من قدر الله إلى قدر الله

Abu Ubaidah bin Al Jarrah telah menyanggah tindakan Saidina Umar dengan berkata ‘ Adakah kita hendak lari dari ketentuan Allah?’, lalu Saidina Umar menjawab ‘Kalau lah yang bertanya ini orang yang selain dari kamu wahai Aba Ubaidah, maka jawapan nya adalah iya, kita berpaling dari ketentuan Allah kepada ketentuan Allah yang lain’.

Dialog antara Saidina Umar radiyallah anhu dan Abu Ubaidah Al Jarrah ini kemudiannya disahut pula oleh seorang lagi sahabat iaitu Abdul Rahman bin Auf dan berkata;

فجاء عبد الرحمن بن عوف ، إن عندي في هذا علما ، سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : ( إذا سمعتم به بأرض فلا تقدموا عليه ، وإذا وقع بأرضوأنتم بها فلا تخرجوا فرارا منه ) قال : فحمد الله عمر ثم انصرف .

‘ Aku punya maklumat tentang perkara ini. Aku telah mendengar dari Rasulullah SAW bersabda: Sekiranya kamu mendengar tentang nya (penularan wabak) disebuah negeri maka jangan lah kamu masuk kenegeri tersebut dan sekiranya kamu ditimpa (wabak tersebut) didalam negeri yang kamu berada didalam nya maka jangan lah kamu keluar lari daripada nya. Lalu Saidina Umar berkata Alhamdulillah dan beredar dari situ.’

Suasana ini berlaku dalam keadaan perang, dalam keadaan untuk meluaskan jajahan Islam ke wilayah Syam, tapi apabila berhadapan dengan wabak yang membunuh, nyawa manusia adalah jauh lebih penting dari perluasan wilayah.

Kita bukan berada didalam suasana perang dan bukan juga berada dalam perintah berkurung yang menyekat kebebasan bergerak, cuma berada dalam satu suasana dimana pihak yang berwajib sedang berusaha untuk membendung penularan wabak. Ramai diantara kita yang tahu dan faham akan kata kata hikmah bahawa pencegahan adalah lebih baik dari rawatan.

Bagi saya arahan pergerakan terhad ini adalah usaha-usaha pencegahan. Sekali lagi, tidak ada keperluan untuk jadi panik. Moga tempoh dua minggu mendatang dalam keadaan kita semua mengambil tindakan yang sewajarnya, tidak berhimpun dengan jumlah yang ramai, tidak berada di tempat tempat perhimpunan awam akan menjadi penyebab untuk virus ini meninggalkan kita.

بسم الله الذي لا يضر مع اسمه شيء في الأرض ولا في السماء وهو السميع العليم.

Semoga perkongsian ahli akademik ini memberi kesedaran kepada kita semua agar turut serta membantu kerajaan dalam menjayakan pencegahan wabak COVID-19 melalui menghadkan pergerakan.

Untuk rekod, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa merupakan mantan Setiausaha Agung PAS pada tahun 1999 sehingga 2004.

Pada tahun 2005, beliau dipilih menjawat jawatan Timbalan Presiden PAS sehingga tahun 2009.

Beliau juga merupakan bekas Ahli Parlimen Yan , Kedah bermula tahun 1999 sehingga 2004 dan Ahli Parlimen Bachok, Kelantan pada tahun 2008 sehingga 2013.

Sebelum bergelar ahli politik, beliau dilantik menjadi pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply