Jabatan Perkhidmatan Veterinar siap sedia hadapi ancaman wabak ‘selsema babi’ pada ternakan khinzir di Malaysia

0

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia bersiap siaga menghadapi ancaman wabak Swine Influenza (Selsema Babi) pada ternakan khinzir di Malaysia.

Wabak Swine Influenza virus H1N1 (SIV H1N1) adalah virus avian influenza yang telah beradaptasi dan bermutasi menjadi virus khinzir.

Terdapat tiga strain H1N1 yang telah dikenalpasti iaitu :

i. SIV H1N1,
ii. HIN1pdm09 virus
iii. G4 EA H1N1

SIV H1N1 adalah virus influenza yang biasa dijumpai dalam khinzir dan sangat endemik di kalangan negara pengeluar khinzir di dunia seperti Amerika, Mexico, dan China.

Virus ini juga menyebabkan jangkitan pada khinzir dengan kadar morbiditi yang tinggi tetapi kematian yang rendah dan virus ini juga sangat hos spesifik dan jarang menyebabkan jangkitan pada manusia.

Pada tahun 2009, Virus Influenza Swine Subtip yang baharu, iaitu novel 2009 H1N1 Pandemic (H1N1pdm09 virus) dijumpai pada manusia di negara Mexico.

Virus H1N1pdm09 ini mempunyai kandungan genetik yang berbeza yang mana strain ini sangat merbahaya iaitu bersifat zoonotik dan boleh menjadi pandemik.

Namun strain ini masih dianggap kurang berbahaya kerana ianya boleh dikawal melalui pemberian vaksin ‘seasonal flu’ H1N1 pada manusia.

Manakala Virus G4 EA 1N1 pula baru dikenalpasti di China seperti yang dilaporkan oleh beberapa akhbar adalah merupakan hasil mutasi strain H1N1pdm09 yang bersifat lebih patogenik dan berbahaya serta tidak boleh dicegah melalui vaksin sedia ada.

Bagi status Swine Influenza pada ternakan khinzir di Malaysia pula buat masa ini, industri ternakan khinzir di Malaysia mempunyai populasi sebanyak 1,748,547 ekor bernilai RM5 bilion yang diternak di 614 buah ladang komersil.

Oleh itu pihak Department of Veterinary Services (DVS) telah menjalankan survelan untuk mengesan SIV H1N1 dan H1N1pdm09 pada khinzir komersil dan hutan menerusi program survelan kebangsaan.

Hasil survelan penemuan yang dilakukan, terdapat sampel yang seropositif kepada SIV HIN1.

Bagaimanapun ternakan khinzir yang seropositif tidak menunjukkan sebarang gejala penyakit dan tidak berisiko untuk menyebarkan jangkitan kepada manusia.

Manakala keputusan ujian HIN1pdm09 pula adalah negatif ke atas semua sampel.

1 JULAI 2020| KENYATAAN MEDIAKESIAPSIAGAAN TERHADAP ANCAMAN WABAK SWINE INFLUENZA (SELSEMA BABI) PADA TERNAKAN BABI DI MALAYSIA#dvsmalaysia#dvsawesome#zerocovid19#kitajagakita#staysafe

Posted by Jabatan Perkhidmatan Veterinar on Wednesday, 1 July 2020

Tindakan kawalan dan pencegahan telah dilakukan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Mereka juga telah mengambil tindakan pencegahan penyakit rentas sempadan daripada memasuki ke dalam negara dengan melaksanakan pelbagai aktiviti.

Antara aktiviti yang dilakukan adalah DVS akan meneruskan larangan pengimportan babi dan produk khinzir dari negara terjangkit dan berisiko dijangkiti.

“Segala aktiviti pencegahan di pintu-pintu masuk utama negara yang melibatkan aktiviti pemantauan dan pemeriksaan ke atas khinzir dan produk khinzir dari negara-negara berisiko akan dijalankan oleh pihak MAQIS.

“Manakala kempen kesedaran awam kepada penternak khinzir mengenai penyakit ini akan dijalankan di semua negeri.

“Oleh itu para penternak diminta untuk mempertingkatkan biosekuriti ladang melalui tindakan pencegahan seperti tidak melawat ladang khinzir yang terjangkit.

” Selain itu, latihan kesiapsiagaan yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan seperti simulasi bagi menguji keberkesanan pelan kontingensi DVS dalam menangani sesuatu wabak penyakit juga akan dilakukan,” ujar pihak berkenaan dalam satu kenyataan media.

Manakala survelan klinikal dan pensampelan akan terus dijalankan di semua ladang khinzir komersial dan khinzir hutan termasuk di pintu-pintu masuk negara.

Selain itu sampel-sampel yang diambil akan diuji di makmal DVS dan jika terdapat sampel positif, ujian lanjut untuk menentukan strain H1N1pdm09 virus dan G4 EA H1N1 akan dijalankan.

Pihak MAFI juga akan bertindak sebagai penyelaras dengan pelbagai agensi penguatkuasa dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memperkemaskan aspek kawalan bersepadu bagi menghalang kemasukan atau penularan penyakit.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply