Isu Syria, Wayang kuasa besar

0

Ketegangan terkini antara Arab Saudi yang disokong Amerika Syarikat dengan Iran akibat serangan yang dilancarkan ke atas loji minyak milik Aramco pada 15 September lalu menenggelamkan tumpuan masyarakat antarabangsa terhadap konflik sedia ada di rantau Asia Barat.

Wayang yang dimainkan Washington dan kuasa besar lain telah berjaya mengalih isu sebenar krisis kemanusiaan di Syria, Yemen dan kezaliman yang dilakukan regim Zionis terhadap penduduk Palestin di kawasan yang dikuasainya.

Selepas berjaya menguasai Raqqa dan Deir az Zour yang sebelum ini dikuasai IS, Amerika Syarikat memejamkan mata dan memekakkan telinga dengan nasib yang menimpa mangsa konflik di bahagian timur laut Syria.

Ketika sedang galak menyusun percaturan untuk mengekalkan kuasa di kawasan itu, lebih 406 kematian dilaporkan di kem Al Hol sepanjang Disember 2018 sehingga September 2019.

80 peratus atau 339 daripada mereka terdiri daripada kanak-kanak.

Dalam laporannya, International Rescue Committee (IRC), berkata angka kematian membabitkan mereka yang berusia bawah lima tahun meningkat hampir dua kali ganda sejak Mac lalu yang disebabkan wabak penyakit dan kekurangan zat makanan di kem yang menempatkan lebih 70,000 pelarian.

Kini dalam krisis kemanusiaan yang semakin tenat di Syria dan Yemen, kuasa besar dunia termasuk Rusia sama sekali tidak berminat untuk mencari penyelesaian. Sebaliknya atas kepentingan tertentu melangsungkan agenda untuk terus memporak poranda rantau berkenaan.

Dalam kebimbangan berjuta-juta pelarian menghadapi musim sejuk pada tahun ini, strategi mereka mengalih tumpuan terhadap perbuatan mereka sebelum ini telah berjaya dialih.

Hampir semua laporan utama media dan portal antarabangsa berpengaruh tertumpu kepada tindakan yang akan diambil oleh Presiden Donald Trump terhadap Iran serta kumpulan pemberontak Houthi di Yemen selepas loji penapis di Abqaiq dan telaga minyak Kuraish di Arab Saudi menjadi sasaran dron sehingga menjejaskan lima peratus bekalan minyak dunia.

Tehran yang selamanya dilabel Negara Paksi Kejahatan oleh pentadbiran Washington telah memberi amaran tidak akan berdiam diri jika diserang.

Dalam situasi ini, ia bukan sentimen perseteruan Syiah-Sunnah tetapi percaturan sebenar Amerika Syarikat untuk terus menguasai sumber minyak dunia serta kawasan strategik di rantau itu.

Sementara Kremlin akan memperkukuhkan lagi pengaruhnya ke atas Tehran dan memperkemas prasarana ketenteraannya di Syria dengan alasan mengimbangi pengaruh kuasa Barat.

Permainan ini akan memberi kedudukan selesa kepada Presiden Bashar al Assad kerana sebarang usaha masyarakat antarabangsa untuk menamatkan konflik yang mengorban hampir 600,000 nyawa di Syria sejak lebih lapan tahun lalu akan dihalang Moscow kerana ia menjadi satu-satunya negara di Asia Barat yang menempatkan kepentingan ketenteraan Rusia.

Jangan tidak tahu yang paling untung dalam situasi ini adalah Israel.

Laporan Razali Awang, Media Syria Care

 

Leave a Reply