Isu sekolah vernakular: ISMA saman Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia

0

ISMA telah mengarahkan peguamcaranya Tetuan Raja Riza & Associates untuk memfailkan writ saman terhadap Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia berhubung dengan isu keesahan penubuhan sekolah jenis kebangsaan atau lebih dikenali sebagai Sekolah Vernakular di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Presidennya, Aminuddin Yahaya berkata, melihat kepada susur galur sistem pendidikan di Malaysia, ISMA berpandangan bahawa sudah tiba masanya bagi mahkamah untuk meletakkan satu titik pengakhiran terhadap sekolah jenis kebangsaan yang sejak dari dahulu telah mewujudkan polemik dalam memupuk perpaduan kaum di Malaysia.

“ISMA berpendapat, kerajaan seharusnya memanifestasikan bahasa Melayu sebagai satu bahasa perpaduan dalam sistem pendidikan bagi merapatkan jurang kesefahaman antara kaum disamping untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara menurut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan”, katanya.

Oleh demikian, ISMA katanya sememangnya percaya bahawa kemelut di atas garisan perkauman yang sedang berlaku di negara kita ini mempunyai titik permulaan yang membenih.

Ia ekoran daripada sistem persekolahan yang berlandaskan perkauman.

“ISMA selaku pertubuhan yang menitikberatkan perpaduan dalam pembangunan masyarakat berpendapat bahawa dasar penubuhan sekolah jenis kebangsaan di Malaysia adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berperlembagaan yang kita amalkan”, katanya.

Atas alasan itu, tambahnya ISMA telah mengarahkan barisan peguam yang diketuai oleh Datuk M Reza Hassan, N Logendran dan Mohamad Farhan Kamarudin untuk mendapatkan keputusan yang mutakhir daripada sudut undang-undang berkenaan dengan isu ini di mahkamah. –THE MALAYA POST

*Subcribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply