Isu LTTE: Tun Dr Mahathir pertahan polis guna SOSMA

0

PETALING JAYA 14 Oktober 2019 : Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan tindakan polis menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk menahan 12 individu dikaitkan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Memetik laporan Berita Harian, Perdana Menteri berkata penahan itu, yang turut membabitkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, dilakukan menggunakan SOSMA kerana tiada undang-undang lain boleh digunakan dalam siasatan polis membabitkan LTTE ketika ini.

Beliau juga sudah mendapat penerangan polis berhubung penahanan itu dan berpuas hati dengan alasan serta bukti dimiliki polis, yang menjadi asas untuk penahanan itu dilakukan.

“Saya ada penerangan daripada polis. Mereka ada sebab-sebab (untuk bertindak) dan saya berpuas hati dengan alasan mereka mengambil tindakan.

“SOSMA masih wujud ketika ini. Disebabkan tiada undang-undang lain, maka polis menggunakan akta ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Revolusi Industri 4.0: Revolusi Global Dalam Perniagaan, Teknologi dan Produktiviti (MYINDUSTRIES 2019) di Universiti SEGi.

Dr Mahathir ditanya mengenai penahanan 12 individu dikaitkan dengan LTTE, yang dipersoalkan beberapa ahli politik, selain kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, yang berpandangan SOSMA tidak sepatutnya digunakan.

Setakat ini, polis menahan 12 individu termasuk dua ADUN DAP dari Melaka dan Negeri Sembilan kerana dipercayai ada kaitan dengan LTTE, menerusi operasi khas di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah, Pulau Pinang dan Perak sejak Khamis lalu.

Susulan tangkapan itu, Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, menzahirkan keyakinan kedua-dua ahli parti itu tidak bersalah, manakala Naib Pengerusi DAP yang juga Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, menggesa individu yang ditahan didakwa di mahkamah segera jika ada bukti mencukupi.

Jumaat lalu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, mengingatkan semua pihak termasuk ahli politik, untuk berhenti membuat kenyataan yang boleh menjejaskan proses siasatan berkenaan.

LTTE adalah kumpulan pemisah di Sri Lanka yang diisytihar sebagai pengganas oleh 32 negara, termasuk Malaysia.

Leave a Reply