Isu LTTE : Terdapat transaksi dalam nilai jumlah yang besar untuk aktifkan kegiatan pengganas LTTE

0

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, wujud transaksi kewangan dalam jumlah yang besar dipercayai untuk mengaktifkan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di negara ini.

Transaksi kewangan itu dikesan dalam akaun individu yang ditahan dalam operasi pada Khamis dan Sabtu (10 dan 12 Oktober 2019) kerana disyaki terbabit dengan kegiatan pengganas LTTE.

Beliau berkata, penggeledahan telah dilakukan di premis serta telefon bimbit suspek, polis merampas bendera, poster, gambar pemimpin LTTE serta mengesan transaksi kewangan dalam jumlah yang besar.

“Transaksi kewangan ini dipercayai untuk membiayai aktiviti mempromosi, merekrut serta menggerakkan program LTTE di negara ini,” katanya.

Pada sidang media di Bukit Aman siang tadi, beliau telah ditanya wartawan jumlah nilai transaksi, namun enggan menjelaskan nilai transaksi kewangan yang dikenalpasti kerana masih dalam siasatan.

“Polis mendapati kumpulan LTTE itu mempunyai cawangan di setiap negeri”, tambahnya.

Beliau memberitahu, ada pergerakan untuk cuba aktifkan LTTE dan sebab itu polis tangkap untuk tidak benarkan aktiviti kumpulan ini berkembang.

“Ada dua yang ditahan dan merancang melakukan serangan secara ‘Lone Wolf’ di negara ini contohnya mereka pernah mencederakan Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia Ibrahim Ansar pada 2016,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan tangkapan LTTE tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan politik sebaliknya ia adalah isu keganasan.

“Tangkapan dibuat kerana sokong keganasan dan polis tidak akan bertolak ansur dengan sesiapa sahaja tidak kira dari parti mana”.

“Polis akan terus jalankan siasatan dan jika ada asas serta bukti kukuh, tangkapan susulan akan dilakukan,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada sesiapa yang terlibat membiayai dan menyokong LTTE kini berada dalam ‘radar’ Counter Terrorism Cawangan Khas.

 

 

Leave a Reply