Isu LTTE : Peguam Haniff Khatri bidas P. Ramasamy

0

Susulan kes LTTE, peguam Haniff Khatri hari ini membidas tindakan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy yang dikatakan telah mengeluarkan kenyataan bersifat “pra matang” dalam isu berkenaan.

Menurut Haniff Khatri, P. Ramasamy bukan pengamal undang-undang, oleh itu beliau tidak mempunyai hak perundangan untuk memberikan penjelasan berkaitan ketidakbersalahan kesemua mereka yang ditangkap setakat ini.

“Secara ringkas, saya amat tidak setuju dengan kandungan Kenyataan P Ramasamy itu disebabkan beliau bukan seorang pengamal undang-undang, dan oleh itu bukannya Peguam kepada G Saminathan ataupun P Gunasekaran ataupun mana-mana individu lain yang ditahan oleh itu juga tidak mempunyai hak perundangan untuk memberikan penjelasan berkaitan ketidakbersalahan kesemua mereka yang ditangkap setakat pada hari ini, sama sekali”, tulisnya di facebook.

Ujarnya, P. Ramasamy secara cuai atau sengaja tidak mengambil kira langsung penjelasan pihak polis bahawa siasatan berkaitan “terrorisme LTTE” itu telahpun dimulakan sejak November 2018 lagi, dan bukannya dilakukan secara semborono, tanpa asas kukuh.

“Penjelasan polis tentang maklumat berkaitan persiapan sesepihak untuk meletupkan Kedutaan Sri lanka, telah tidak dirujuk dan diabaikan oleh P Ramasamy sama sekali, sedangkan mana-mana risiko letupan bangunan Kedutaan negara luar semestinya adalah satu bentuk terrorisme jahat yang boleh mendedahkan Malaysia bukan sahaja kepada bahaya dan kerugian malah ia boleh juga menjejaskan hubungan dua hala dengan negara Sri Lanka, jika ia tidak dibendung dan diambil tindakan wajar”, katanya.

Siri : 1821SIASATAN POLIS BERKAITAN KESALAHAN TERRORISME "LTTE" & KENYATAAN PRA-MATANG P RAMASAMY !!Wahai Rakyat…

Publiée par Haniff Khatri sur Jeudi 10 octobre 2019

 

Tegas beliau, P Ramasamy telah membuat kenyataan beliau berasaskan anggapan salah bahawa pihak polis boleh sewenang-wenangnya dipengaruhi oleh mana-mana entiti untuk salahgunakan kuasa.

Sedangkan negara kini berada di era “Malaysia Baru” pasca PRU-14 yang cuba sedaya upaya untuk mempraktikkan prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law)

“Kenyataan P Ramasamy itu juga merupakan satu Alegasi salah terhadap segala usaha polis yang telah melakukan siasatan sejak setahun yang lalu sebelum tangkapan dijalankan.

Ia membabitkan siasatan yang bermula jauh lebih awal sebelum isu Dr. Zakir Naik memuncak selepas ceramah di Kota Bharu Kelantan pada 08 Ogos 2019 tahun ini

Tambah Haniff, P Ramasamy, telah secara salah mencampur-adukkan dua isu yang berbeza.

Ia mencakupi isu terrorisme LTTE dan isu “D. Zakir Naik”, dalam mengeluarkan kenyataannya yang lebih berbentuk Alegasi salah kononnya pihak polis telah salah guna kuasa mereka dalam melaksanakan tugasan mereka dalam hal ini.

“Justeru, saya percaya P. Ramasamy sebagai seorang pemimpin politik kanan dari Pulau Pinang yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, seharusnya lebih peka dengan tanggungjawab polis, sebelum mengeluarkan kenyataan pra-matang serta alegasi salah terhadap pihak berkuasa polis yang cuma melaksanakan tanggungjawab mereka sebaiknya”katanya.

Yang jelas ujar Haniff Khatri sememangnya, kesemua mereka yang ditahan setakat ini mempunyai hak peribadi untuk diwakili peguam pilihan sendiri.

Ia bagi tujuan membela mereka, dan semestinyalah sistem pelaksanaan undang-undang jenayah dan sistem keadilan dan kehakiman Malaysia wajib diberi luang dan ruang oleh kesemua pihak untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing, tanpa mencetuskan tohmahan dan alegasi salah yang tidak bertempat.

Terdahulu dalam satu sidang medianya
P. Ramasamy mengakui bahawa dirinya mungkin ditangkap oleh polis susulan tindakan keras terhadap mereka yang didakwa mempunyai hubungan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Bagaimanapun, pemimpin DAP itu tidak gentar.

P. Ramasamy berhujah bahawa beliau bersimpati dengan nasib etnik Tamil di Sri Lanka, sama seperti bagaimana dirinya memperjuangkan rakyat Palestin dan Rohingya.

“Saya mungkin ditahan. Tak mengapa. Bagi saya, perjuangan saya sesuatu yang mulia. Saya juga simpati terhadap Palestin dan Rohingya.

“Apabila saya bersimpati dengan orang Islam di Mindanao dan Aceh, tiada siapa yang berkata apa-apa. Tetapi ramai pula yang bising bila ia membabitkan etnik Tamil. Ini double standard,” katanya.

P. Ramasamy mengulangi bahawa beliau terlibat dalam proses damai di Sri Lanka dan turut mengambil bahagian dalam usaha yang sama di Filipina dan Colombia.

“Dalam proses damai, saya perlu melibatkan semua pihak. Kenapa mereka ini tidak faham-faham,” katanya.

LTTE : Polis perluas siasatan ke atas P. Ramasamy

Untuk rekod, pada 25 Sept 2019 Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador telah mengeluarkan kenyataan di akhbar bahawa polis akan melaksanakan siasatan lebih luas terhadap Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P.Ramasamy yang didakwa mempunyai hubungan dengan kumpulan pemberontak Sri Lanka, LTTE.

Ketua Polis Negara berkata, siasatan pada Septembet lalu itu dibuat berdasarkan laporan baharu diterima polis dan keterangan pemimpin DAP itu telah diambil.

Menurutnya, polis akan menyiasat dari pelbagai sudut sekiranya terdapat bukti-bukti baharu yang boleh mengaitkan Ramasamy dengan kumpulan LTTE.

“Sebenarnya aduan berkaitan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu sudah diterima dan disiasat polis pada tahun 2013 di mana kertas siasatan sudah diangkat dan diserahkan kepada Peguam Negara.

Dengan penangkapan 7 individu suspek LTTE, persoalan kini terarah kepada dalang LTTE di Malaysia yang dikatakan sudah dikenalpasti dan sebagaimana menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay akan ada tangkapan lagi berkenaaan LTTE.

Leave a Reply