Isu doktor kontrak, penerima vaksin tiada kad pengenalan antara topik yang menjadi tumpuan ahli yang berhormat hari ini

0

Laporan dewan rakyat.

Perancangan masa depan untuk doktor-doktor kontrak, maklumat penerima vaksin yang tidak mempunyai kad pengenalan diri serta tindakan terhadap golongan yang memalsukan sijil vaksin.

Itu antara topik yang bakal berkumandang di dewan rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Parlimen yang bermula 10 pagi ini, persoalan mengenai rancangan untuk menjamin masa depan doktor kontrak akan diajukan Rusnah Aluai (PH-Tangga Batu) kepada Menteri Kesihatan, dalam sesi jawab lisan.

Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) pula meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan tindakan proaktif kerajaan terhadap maklumat penerima vaksin yang tidak mempunyai kad pengenalan diri, terutamanya di Sarawak dan tindakan terhadap isu individu tanpa pengenalan diri.

Turut bertanya kepada kementerian yang sama, Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) mengenai tindakan yang akan dikenakan ke atas golongan yang memalsukan sijil suntikan vaksin.

Selain itu, antara isu lain yang bakal diketengahkan adalah langkah dilakukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi memastikan masyarakat Orang Asli tidak tercicir daripada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), sebelum menyambung semula perbahasan Titah Diraja.

Rang Undang-Undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020, Rang Undang-Undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020, Rang Undang-Undang Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2020, Rang Undang-Undang Lembaga Angkasa Malaysia 2020 dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 akan dibacakan kali pertama dalam dewan rakyat hari ini.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 17 hari sehingga 12 Oktober.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply