Istana Negara akan berhubung semula dengan ketua-ketua parti yang punyai ahli Dewan Rakyat untuk calonkan nama Perdana Menteri

0

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah masih belum memperolehi keyakinan mengenai seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan baharu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Ahmad Fad Shamsuddin dalam satu kenyataan media berkata baginda juga turut berkenan dengan keputusan yang telah diambil oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk tidak memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada 2 Mac (Isnin).

“Seri Paduka Baginda seterusnya akan terus berusaha untuk mencari jalan penyelesaian selaras dengan Perlembagaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat jelata dan negara yang kita cintai bersama.

“Pihak Istana Negara akan berhubung dengan ketua-ketua pimpinan parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat, bagi memberi peluang kepada mereka untuk mengemukakan pencalonan nama Ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri, ujar beliau.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada ahli-ahli Parlimen dan Ketua Setiausaha Negara serta semua pihak yang terlibat di dalam proses temubual antara Seri Paduka Baginda dan ahli-ahli Parlimen yang telah berlangsung selama dua hari bermula Selasa, 25 Februari lalu di Istana Negara.

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply