Institusi pendidikan Mara disaran wujud alumni WSC

0

Institusi Pendidikan Majlis Amanah Rakyat (IPMA) disaran supaya mewujudkan sebuah alumni dalam kalangan pelajar mereka yang telah menyertai Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, langkah itu penting bagi membina kesinambungan program selain menjadi platform mengumpul kepakaran dan bakat yang boleh diperluas demi kesejahteraan rakyat.

“Tahun ini bukan kali pertama pelajar IPMA menyertai Pertandingan Kemahiran Dunia, sudah beberapa tahun dan disebabkan itu, saya cadangkan agar satu alumni ditubuhkan antara pelajar yang menyertai pertandingan tersebut.

“Tujuannya adalah untuk kita lihat kemahiran mereka yang pelbagai yang kita boleh gunakan. Kita juga boleh melibatkan pakar bidang berkaitan dalam alumni berkenaan,” katanya.

Untuk rekod, WSC adalah pertandingan kemahiran peringkat tertinggi di dunia yang mengiktiraf belia berkemahiran tinggi dan penyertaannya terbuka kepada semua negara yang menjadi ahli.

Datuk Seri Mahdzir berkata, empat daripada tujuh pelajar IPMA berjaya meraih pingat dalam pelbagai bidang kemahiran yang disertai pada edisi WSC tahun ini yang bermula sejak Mac hingga Ogos lalu.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan program Sesi Penghargaan Secara Maya kepada tujuh peserta dan empat pakar IPMA yang menyertai WSC 2021 di Ibu Pejabat Mara pada Isnin.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply