Ingkar dan langgar perintah kuarantin di rumah akan dikenakan tindakan undang-undang

0

Hukuman boleh dikenakan ke atas individu yang melanggar Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah bagi COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu perkongsian memaklumkan, Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah atau Home Surveillance Order (HSO) telah mula dikuatkuasakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sejak 10 Jun lalu dan selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Bilangan Person Under Surveillance (PUS) yang telah discaj dari pusat kuarantin pada 10 Jun lalu dan kemudiannya diletakkan di bawah HSO adalah seramai 5,909 orang, iaitu bagi melengkapkan tempoh kuarantin 14 hari.

Namun demikian, daripada jumlah ini hanya 4,437 orang yang telah direkod menjalani ujian COVID-19 di Klinik Kesihatan atau klinik swasta pada hari ke-13 dan daripada jumlah tersebut, tiga kes telah dikesan positif COVID-19 manakala seramai 1,472 orang lagi masih perlu menjalani ujian COVID-19 hari ke-13.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3414203158603548&id=578835322140360&sfnsn=mo

“Ingin dimaklumkan bahawa semua individu yang pulang dari luar negara (iaitu termasuk rakyat Malaysia, pemastautin tetap dan mereka yang dibenarkan masuk atas urusan kerja) wajib menjalani kuarantin di tempat kediaman masing-masing selama 14 hari seperti yang dinyatakan dalam Garis Panduan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah Kediaman.

“Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bersama agensi lain yang terlibat telah diberi kuasa untuk mencari dan mengambil tindakan ke atas individu yang didapati melanggar syarat di bawah perintah ini.

“Mereka juga boleh dikenakan denda atau dipenjarakan atau kedua-duanya,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, KKM turut menyeru pengembara yang pulang ke Malaysia supaya terus memberi kerjasama kepada pihak KKM dan patuh kepada syarat di bawah perintah ini.

Ahli keluarga kepada individu yang diletak di bawah HSO juga perlulah memainkan peranan dengan menasihati dan memastikan mereka akur serta tidak melanggar arahan sehingga boleh mengakibatkan mereka dikenakan hukuman.

Oleh itu kerjasama semua pihak adalah diharapkan agar kita dapat sama-sama memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 di Malaysia.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply