“Ingatlah sumpah ikrar demi pesakit dan negara” – KP Kesihatan

0

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menyeru semua petugas perubatan terutama doktor agar tidak terlibat dalam protes di seluruh negara esok.

Menerusi hantaran dalam akaun sosial Facebooknya malam ini, beliau turut mengingatkan mereka mengenai sumpah ikrar Hippocratic yang antara lain tidak akan memudaratkan masyarakat.

“Ingatlah ikrar ‘primum non nocere’ yang pernah dilafazkan sebelum berkhidmat iaitu pertama sekali tidak akan menyakiti atau memberi ketidakadilan kepada para pesakit kita,” jelasnya.

Beliau dipercayai merujuk hasrat sekumpulan doktor berstatus kontrak yang merancang akan mengadakan hartal atau mogok melibatkan lebih 20 hospital bermula pukul 11 pagi esok.

Tindakan yang akan disertai sekitar 5,000 doktor terbabit di seluruh negara itu sebagai tanda protes kegagalan kerajaan menyerap mereka dalam perkhidmatan tetap setelah habis kontrak.

Mengulas lanjut, Tan Sri Noor Hisham dalam nada nasihat, mengimbau kesan buruk bakal berlaku sekiranya piket besar-besaran itu berlangsung dalam situasi wabak Covid-19 pula agak kritikal.

“Justeru, lebih baik anda mengelak sertai demonstrasi ini yang bukan sahaja memberi kesan teruk kepada nyawa pesakit, malah menjejaskan kerjaya masa depan anda sendiri,” tegasnya.

Beliau pada masa sama memberi jaminan, pihak kerajaan akan membenarkan mereka untuk dapat menyambung pengajian ke peringkat sarjana walaupun masih lagi berstatus kontrak.

Ini ujarnya, termasuk tawaran perjawatan yang bertaraf tetap untuk mereka sebaik ada penambahan keperluan banyak doktor baharu di semua fasiliti awam milik Kementerian Kesihatan.

Bahkan jelasnya, kerajaan baru-baru ini bersetuju memberi lanjutan lagi dua tahun kontrak bagi ruang pindaan Akta Pencen dengan opsyen caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

“Saya perlu mengingatkan anda bahawa keselamatan pesakit adalah keutamaan kita dan jangan dilupa sumpah yang kita angkat untuk mengutamakan nyawa dan negara,” katanya.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply