Industri kreatif boleh beraksi semula 9 September ini

0

Ini pula berita baik untuk penggiat industri kreatif.

Mulai 9 September ini, lebih sejuta penggiat industri kreatif, artis dan pekerja melibatkan 19,000 syarikat berkaitan dibenarkan kembali bergiat di negeri-negeri dalam Fasa 1 PPN.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan kepada media berkata kebenaran dikhususkan kepada semua penggiat industri lengkap dua dos vaksin.

“Kelonggaran ini juga diberikan berasaskan faktor terdapat negeri-negeri mencapai status 80 peratus populasi dewasa menerima dua dos lengkap vaksin atau telah mencapai tahap imuniti kelompok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, keputusan itu dibuat menerusi perbincangan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 pada Khamis lalu, tertakluk kepada syarat SOP yang  diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk kapasiti ruang premis yang  dibenarkan.

Untuk rekod, industri kreatif menyumbang sebanyak dua peratus atau RM29 bilion daripada Keluaran Dalam  Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2019.

Beliau berkata, antara aktiviti yang dibenarkan ialah pembangunan dan penyiaran kandungan kreatif secara rakaman atau siaran  langsung, penyiaran secara rakaman atau siaran langsung berbentuk penyampaian  maklumat dan hiburan dengan kehadiran penonton yang lengkap vaksin dengan  kapasiti penonton 30 peratus di ruang studio

Ia termasuk penggambaran industri kreatif di dalam dan di luar studio kepada individu yang  lengkap vaksin.

“Selain itu ialah indoor busking, persembahan di lounge hotel, aktiviti panggung wayang dengan  kapasiti 50 peratus di ruang dewan tayangan pawagam, aktiviti persembahan langsung seperti seni teater, muzikal, muzik dan komedi  (secara pra-daftar) dengan penonton yang lengkap vaksin serta kapasiti  penonton 30 peratus di ruang premis.

“Aktiviti pameran seni di dewan pameran, muzium dan galeri seni (secara janji temu)  dengan pengunjung lengkap vaksin dengan kapasiti pengunjung juga 30 peratus di ruang premis,” katanya.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu adalah antara usaha-usaha berterusan kerajaan yang prihatin untuk  merangsang kelangsungan ekonomi penggiat seni dan industri kreatif.

Pada masa sama, beliau turut menggesa semua pihak terlibat dalam pembukaan sektor ini supaya  sentiasa mematuhi syarat dan prosedur yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang  risiko dan implikasi perundangan, keselamatan serta kesihatan khususnya dalam  usaha negara untuk beralih ke fasa endemik menjelang akhir Oktober ini.

“Insya-Allah kerajaan akan sentiasa komited mengambil pendekatan terbaik yang  mampu menjamin pemulihan ekonomi negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply