Imigresen tidak iktiraf penubuhan skuad sukarela buru PATI

0

Jabatan Imigresen Malaysia tidak mengiktiraf penubuhan skuad sukarela oleh Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) bagi memburu warga asing yang tinggal lebih masa di Malaysia.

Tindakan seperti itu tegas Ketua Pengarahnya Datuk Khairul Dzaimee Daud adalah tugas pihak berkuasa berlandaskan undang-undang dan peraturan sedia ada.

 

“Tiada mana-mana pihak atau pertubuhan diberikan kuasa di bawah undang-undang untuk memburu pendatang asing tanpa izin. Berdasarkan Seksyen 51 Akta Imigresen 1959/63, kuasa menjalankan tangkapan adalah terhad kepada pegawai imigresen, polis dan kastam sahaja,” katanya dalam satu kenyataan medianya siang siang tadi.

Ujarnya Jabatan Imigresen sentiasa menjalankan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran pendatang tanpa izin.

Ia termasuk pelancong asing yang tinggal lebih masa dalam negara.

“Sejak 1 Jan hingga 24 Dis lepas 17,328 operasi penguatkuasaan dilaksanakan dan hasilnya 50,715 pendatang tanpa izin serta 1,251 majikan ditahan,” katanya.

Datuk Khairul Dzaimee berkata setiap pendatang asing tanpa izin yang dicekup akan melalui proses siasatan, dakwaan dan hukuman sebelum diusir ke negara asal.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai supaya membantu pihak Imigresen bagi menyalurkan sebarang maklumat tepat mengenai aktiviti pendatang asing tanpa izin supaya tindakan penguatkuasaan dapat diambil.

Namun mereka diingatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan beberapa laporan di media sosial baru-baru ini mengenai penubuhan sebuah pasukan sukarelawan bagi membantu memburu pelancong asing yang tinggal lebih lama daripada tempoh yang ditetapkan.

Leave a Reply