Idris Haron akan pertahankan kerusi Sungai Udang

0

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron, berkata beliau akan mempertahankan kerusi Sungai Udang jika Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Justeru katanya, bersedia menghadapi cabaran Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad jika dia dipilih mewakili Barisan Nasional (BN) untuk merampas kerusi berkenaan.

Lapor media Berita Harian, Datuk Seri Idris berkata, beliau tidak akan lari daripada mempertahankan kerusi yang sudah dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (2013) dan PRU-14 (2018) itu.

“Kenyataan dia (Mohamad Ali) untuk mencabar ke mana saja saya pergi jika PRN kali ini jadi, menunjukkan dia memang mengidam untuk merampas Sungai Udang.

“Saya tidak akan lari daripada mempertahankan kerusi itu kerana saya sayang akan anggota masyarakat di Sungai Udang dan saya yakin mereka juga sayang saya,” katanya.

Bagaimanapun, jika ada anak tempatan lain yang mencabarnya, bekas Ketua Menteri Melaka bersedia tidak mempertahankan kerusi berkenaan berbanding jika cuba dirampas Mohamad Ali.

“Saya rela menyerahkan Sungai Udang jika benar-benar ada anak tempatan yang ingin berjuang membela nasib rakyat tetapi kalau dia (Mohamad Ali), saya akan berjuang bermati-matian,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Mohamad Ali semalam yang bersedia mencabar Datuk Seri Idris dalam PRN jika ia diadakan tidak lama lagi berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Datuk Seri Mohamad Ali dilaporkan berkata, pertembungan beliau dengan Idris bakal menentukan siapa pemimpin politik yang diberikan kepercayaan oleh pengundi untuk memperjuangkan nasib mereka.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply