Ibu terdesak curi makanan dan pelekat penyejuk badan, Polis Daerah Petaling Jaya tampil hulur bantuan

0

Seringkali kita dengar dan baca tentang kesempitan hidup yang dilalui oleh sesetengah masyarakat lebih-lebih lagi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Keterbatasan pergerakan ditambah dengan SOP yang perlu dipatuhi nyata memberi impak yang besar kepada ekonomi sebuah keluarga mahupun negara.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah gambaran keadaan yang dilalui seorang ibu apabila sanggup mencuri makanan dan pelekat penyejuk badan bagi mengubati anaknya yang sedang demam.

Kejadian berlaku di sebuah pasar raya di Petaling Jaya, menarik perhatian Ketua Polis daerah yang sama iaitu Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal tampil membantu wanita itu termasuk tidak meneruskan tindakan (NFA) atas jenayah dilakukan wanita berusia 30-an sebaik menerima laporan polis dibuat pasar raya berkenaan semalam.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada pihak pasar raya yang menangkap ibu tiga anak itu mencuri pelekat penyejuk badan, kek dan sosej kira-kira jam 3 petang semalam.

“Mendengar laporan terbabit saya pun berasa terpanggil untuk berjumpa dengan wanita itu.

“Saya percaya dia ada masalah kalau tidak dia tidak akan buat perkara ini,” katanya menerusi perkongsian video melalui laman media sosial Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, hari ini.

Menurutnya, pihaknya menyampaikan bantuan makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan lain demi membantu wanita berkenaan.

“Susah-susah sangat mari balai polis, ini ada ‘kool fever’ untuk anak demam,” katanya kepada wanita itu.

Katanya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sememangnya satu keadaan yang mencabar yang perlu dilalui semua pihak.

“PKP ini banyak mencabar kita, ramai antara kita selalu buat aduan konon tidak boleh ‘brain’ (faham) kenapa polis buat roadblock (sekatan jalan raya) tutup jalan dan berlaku kesesakan.

“Sebenarnya, bukan tuan puan saja susah tetapi ada lagi yang lain (susah). Dalam PKP ini kita nak lawan virus COVID-19,” tambah beliau.

Sehubungan itu beliau turut menitipkan nasihat kepada masyarakat agar memahami keadaan yang sedang dilalui negara dan kekal duduk di rumah bagi memutuskan rantaian wabak pandemik ini demi kesejahteraan hidup di masa hadapan.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply