Hobi suka ‘window shopping’, timbul idea jadi ‘personal shopper’

0

Khidmat pembeli peribadi atau ‘personal shopper’ semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat Malaysia.

Perkhidmatan ini dilakukan sama ada secara sepenuh masa atau sambilan yang turut disokong oleh kemudahan platform media sosial yang sedia ada di samping permintaan pengguna tempatan yang semakin meningkat.

Bagi Pembantu Setiausaha Pejabat, Nur Shahirah Zulkifly, 23 tahun, daripada hobi suka membeli belah dan meneliti pelbagai produk di pasaran (window shopping) merupakan detik bermulanya timbul minat sebagai ‘personal shopper’.

“Sejak saya berhijrah di ibu negara kerana tuntutan kerja, ramai yang meminta saya membeli barangan yang dijual disini terutama di kalangan ahli keluarga mahupun teman rapat.

“Secara kebetulan pula, saya seorang yang suka ‘shopping’ dan bila membeli barangan, saya meneliti dan suka tengok secara terperinci kandungan serta membuat semakan agar ianya selamat digunakan.

“Atas faktor ini, ramai yang mempercayai kemampuan saya untuk membantu bagi pihak mereka untuk mendapatkan barangan yang diingini dan dari sini jugalah tercetusnya idea menjadi ‘personal shopper’ secara sambilan,” katanya.

Gadis manis yang sentiasa tersenyum ini amat optimis apabila mula bergerak aktif sebagai ‘personal shopper’ melalui medium media sosial Instagram dan Telegram.

“Selepas membuka akaun di Instagram, saya tidak sangka ramai pula yang memberi respon positif, tambahan pula rakan serumah turut memberi sokongan terhadap kerja tambahan saya ini.

“Saya ‘enjoy’ dengan apa yang saya lakukan dan rasa puas walau hanya membantu melakukan pembelian bagi pihak lain.

“Saya percaya dengan kata-kata ‘do things that makes you happy’, maka keikhlasan itu timbul sekaligus dapat menggembirakan orang lain dan sudah pasti akan memberi pulangan yang baik kepada diri sendiri juga,” ujar gadis kelahiran Terengganu ini.

Disaat negara dilanda wabak pandemik yang nyata menghimpit ekonomi masyarakat, Nur Shahirah atau lebih mesra disapa Eyra, mengambil peluang memikul tanggunggjawab sampingan ini dalam usaha menjana pendapatannya.

Tidak mahu terlalu selesa dengan kerja tetapnya sebagai pembantu peribadi, Eyra percaya dalam setiap langkah dan usaha tanpa berputus asa pasti membuahkan hasil yang berbaloi.

“Setakat ini, secara purata pendapatan bulanan sebagai ‘personal shopper’ adalah sebanyak RM500 hingga RM800.

“Ianya bergantung kepada keadaan. Biasanya setiap penghujung bulan (ketika bayaran gaji), saya akan menerima banyak tempahan pembelian dari pelanggan.

“Malah, kini saya juga mempunyai pelanggan setia yang mempercayai khidmat yang saya lakukan ini,” ujarnya yang lebih cenderung membantu pelanggan membeli barangan peralatan rumah, kosmetik, baju, kasut , produk penjagan diri dan barangan kecantikan kulit dari pelbagai jenama yang berada di pasaran.

Dalam rancak berbicara, kami menyelitkan pertanyaan cabaran dan dugaan selama melaksanakan tugasan sebagai ‘personal shopper’.

Ya la, kami percaya bukan mudah apabila terpaksa berdepan dengan pelbagai ragam dan kerenah pelanggan.

“Setiap kerja sudah pasti ada kesukarannya. Saya juga perlu berdepan dengan pelbagai kerenah pelanggan namun tiada yang keterlaluan.

“Lain orang, lain caranya. Tapi saya faham keadaan dan kehendak mereka malah saya sendiri agak cerewet dalam bab membeli barangan yang dihajati dan sudah pasti mahukan sesuatu yang terbaik.

“Oleh kerana itu, sebelum pelanggan merungut saya sudah persiapkan diri agar dapat menyediakan khidmat yang terbaik kepada pelanggan dan setiap barangan yang dibeli akan dijaga rapi agar tiada sebarang kerosakan berlaku,” tambahnya yang kini lebih setahun bergelar pembeli peribadi atau ‘personal shopper’.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply