Hina agama, kaum polis siasat klip video penceramah bebas

0

Polis Bukit Aman mengesahkan sedang menjalankan siasatan berhubung klip video tular mengandungi kenyataan berbaur penghinaan agama dan kaum membabitkan seorang penceramah bebas, Mohd Syakir Nasoha.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata klip video berdurasi satu minit yang mula tular di media sosial seperti TikTok, Facebook dan WhatsApp sejak beberapa hari lalu lalu mengundang kemarahan orang ramai.

Susulan itu, satu siasatan dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5, JSJ Bukit Aman.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana dengan niat hendak mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penyalahgunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Datuk Seri Abd Jalil berkata, siasatan masih diteruskan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

Tambahnya, tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman dan keselamatan negara.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply