‘Hentikan kebisingan politik, tumpu selesai COVID-19’ – DPMM

0

Sungguh menarik laporan ditulis wartawan Berita Harian, Mohd Nasaruddin Parzi bertajuk ‘Hentikan kebisingan politik, tumpu selesai COVID-19’.

Kupasan berita berkenaan tertumpu kepada suara Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) yang menggesa kebisingan politik yang semakin menjadi-jadi ketika ini dipadamkan buat sementara waktu sehingga ancaman pandemik COVID-19 dilandaikan.

Memetik laporan itu, Presiden DPMM, Abdul Halim Husin, berkata perkembangan ekonomi dan politik mutakhir ini berpotensi memberi pukulan maut buat komuniti niaga Melayu yang sebahagian besarnya sudah nyawa-nyawa ikan.

“Tidak akan ada bencana lebih besar buat Malaysia selain daripada membiarkan pertembungan antara tsunami politik dan gelombang keempat pandemic COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengurusan pandemik negara ketika ini agak kelam kabut terutama apabila ada keputusan antara kementerian yang sering berubah-ubah akibat tekanan pihak tertentu demi kepentingan masing-masing.

“Ini menyebabkan kurangnya ketegasan dalam melaksanakan ketetapan atau perintah yang dibuat. Sikap ‘kerajaan tahu semua’ sehingga sanggup memencilkan suara-suara yang mewakili kepentingan rakyat, sehingga menjurus kepada keputusan berat sebelah, acap kali terpaksa diperbetulkan sehingga menjejaskan kredibiliti kerajaan.

“Rakyat juga menjadi mangsa kurangnya kesepakatan antara agensi. Sikap Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang seolah-olah tidak sabar untuk membuka sehingga 80 peratus industri dalam kenyataannya baru-baru ini jelas bercanggah dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa satu yang masih dan sedang berkuat kuasa terutama di kawasan yang dikenakan PKPD.

“Tindakan sedemikian mengecewakan rakyat setempat dan seluruh negara yang sudah memberikan komitmen selama PKP 3.0 dilaksanakan sejak 12 Mei lalu. Pengorbanan apakah yang harus dilakukan oleh peniaga mikro, kecil dan sederhana demi kelangsungan hidup yang semakin terjejas,” katanya.

Katanya, tindakan yang mengelirukan dan tidak konsisten ini bukan saja menekan rakyat, tetapi akhirnya merugikan kerajaan juga.

“Masa kini, bukan saja rakyat B40 yang sedang menderita malahan sebahagian besar M40 sudah layak dikategorikan sebagai B40 menjadikan B60. Bahkan terkini, sudah mulai kedengaran tuntutan daripada T20 pula supaya mereka juga layak untuk menerima bantuan daripada PPN. Ini tanda sakit ekonomi yang perlu diubati dan dipulihkan segera,” katanya.

Beliau berkata, DPMM menyarankan semua pihak berganding usaha memperbaiki keadaan yang wujud dengan kerajaan perlu memastikan peruntukan RM150 bilion diumum Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, dilaksana melalui program pemulihan yang betul serta dibelanjakan dengan berhemah.

Dalam pada itu, DPMM katanya menghargai usaha dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam meningkatkan program vaksinasi yang kini, berupaya melakukan 350,000 suntikan sehari.

“Begitu juga dengan komitmen bekalan vaksin oleh negara-negara pengeluar utama. Pencapaian ini hendaklah diteruskan serta digandakan lagi supaya matlamat imunisasi 80 peratus (satu dos) dapat dicapai menjelang Ogos ini malahan lebih awal lagi,” katanya.

Katanya, pihak berwajib hendaklah bertindak secara seragam dan seiringan bagi memastikan kes jangkitan di bawah 6,000 sehari secara konsisten, apatah lagi untuk menurunkan angka itu ke bawah 4,000 bagi melepasi fasa satu PPN.

“Sepertimana yang kita ketahui sekarang ini ancaman varian baru seperti Delta, Lambda, serta peningkatan kadar jangkitan secara sporadik yang sudah mencecah 80 peratus dalam kalangan kluster-kluster tertentu.

“Akta 446 (Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446)) mesti dikuatkuasakan dan dipatuhi sepenuhnya sebelum keputusan untuk membuka kilang atau mana-mana sektor industri diluluskan. Sekiranya gagal kali ini, kita akan selamanya gagal untuk mencari jalan keluar,” katanya.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply