Harap UMNO kaji semula keputusan putus kerjasama dengan BERSATU – Azmin Ali

0

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Dato Seri Mohamed Azmin Ali berharap UMNO meneliti semula keputusan parti berkenaan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Melayu (BERSATU) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Beliau menambah PN sedia bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan kerajaan yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin stabil dan kukuh bagi meneruskan usahanya membantu rakyat dikala pandemik COVID-19.

“Kita berharap pimpinan tertentu dalam Umno dapat ambil sikap untuk teliti semula keputusan itu. PN ini dibentuk dengan cita-cita yang cukup murni, perpaduan itu amat penting, pemeliharaan terhadap perlembagaan dan undang-undang itu perlu dijunjung, kita mahu kestabilan dalam negara ini dipelihara.

“Kita tidak mahu mana-mana pihak melakukan tindakan tidak bertanggungjawab, yang akan menyebabkan ketidakstabilan terhadap kerajaan kerana ia akan menyebabkan rakyat menjadi mangsa dan kita tidak mahu rakyat menjadi mangsa,” katanya.

Terdahulu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan tiada kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Melayu (PPBM) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 namun akan meneruskan kebersamaan dengan kerajaan  Perikatan Nasional (PN) sehingga pembubaran parlimen.

Keputusan ini diambil sebagai respon ketika pertemuan bersama Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta UMNO membuat pendirian jelas berkenaan kedudukan kerjasama dengan parti berkenaan sebelum rundingan pengagihan kerusi dapat diteruskan bagi menghadapi PRU ke-15.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan media berkata sejak awal UMNO sentiasa berpegang kepada pendirian bahawa untuk memastikan perpaduan yang dibina di atas sebuah pakatan atau kerjasama politik yang bertahan lama dan efektif mestilah berteraskan kejujuran dan keikhlasan, demi menjaga kemaslahatan rakyat. – BERNAMA

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply