Haqiem Rusli tamatkan zaman bujang, pilih rakan niaga sebagai isteri

0

Penyanyi popular, Haqiem Rusli, 24, kini sah bergelar suami kepada Anis Sofea, 19 tahun.

Pasangan ini dinikahkan oleh jurunikah Ustaz Zamzuri Ruslan pada upacara pernikahan yang berlangsung di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah Cyberjaya pada jam 3 petang tadi.

Bersaksikan keluarga dan kenalan rapat pasangan, pemilik nama Ridzuan Haqiem Rusli ini menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300, selain lima dulang hantaran berbalas lima dulang hantaran kepada Wan Anis Sofea Wan Zamzuri.

Memetik satu kenyataan media kepada The Malaya Post, pasangan sama cantik sama padan ini memanjat kesyukuran kerana hari bahagia mereka berjalan dengan lancar.

Kedua mempelai ini diraikan dalam satu majlis tertutup yang dihadiri oleh keluarga tercinta, kenalan rapat dan media sahaja mengikut prosedur operasi standard (SOP) penganjuran majlis perkahwinan dan sosial yang telah ditetapkan dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa 4.

Meraikan hari yang berbahagia ini, mereka memilih untuk mengadakan majlis perkahwinan dan resepsi secara tertutup bertemakan “Wedding in the Sky” atau “Raikan Cinta di Langit Asmara” bertempat di skyGlass Cyberjaya.

Dekorasi majlis yang diberikan nama “The SOFEA” ini berinspirasikan “Floral Garden” persis taman di kayangan dalam rona pastel yang elegan dan mewah merupakan ilham dan sentuhan daripada Primadona Events diilhamkan daripada minat pasangan sendiri, Anis Sofea kepada fesyen dan drama Korea.

Pasangan ini mengenakan busana pereka fesyen tersohor Rizman Ruzaini dalam rona putih berperincian mewah.

Turut meraikan detik bersejarah pasangan ini, HABIB Jewels,  jenama barang kemas tempatan menyerikan pasangan dengan aksesori berlian dan barangan kemas bernilai RM5 juta bagi kedua-dua majlis.

Nilai keseluruhan majlis perkahwinan dianggarkan lebih RM7 juta.

Dalam suasana majlis gemilang bak taman syurga yang menjelmakan keajaiban dan magikal, Haqiem menghadiahi isteri tercinta sebuah lagu karyanya sendiri “Hitam Saksi Putih” yang didendangkan merdu semasa Majlis Resepsi.

Pasangan ini telah menjalin percintaan sejak dua tahun lepas berkenalan semasa menjalankan urusan perniagaan mereka.

“Dia (Anis Sofea) amat sempurna buat saya, dan saya sangat senang dengan sikap, budi pekertinya yang lemah lembut dan ketrampilannya yang telah menambat hati saya untuk memilikinya,” jelas Haqiem kepada The Malaya Post.

Sofea pula menerangkan, “Sifatnya yang penyayang, prihatin, bertanggungjawab, bercita-cita tinggi dan berbudi pekerti menjadikan saya jatuh hati kepadanya,” katanya.

Hari istimewa ini dijayakan dengan kerjasama lebih daripada 10 pakar dalam industri termasuk katerer, perunding perkahwinan, pakar dekorasi, jurufoto berpengalaman dan ramai lagi.

Tahniah dari The Malaya Post.

Semoga kekal berbahagia hingga ke Jannah.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply