Wednesday, April 17, 2024
Home BERITA ‘Hanya satu dua pemimpin UMNO sahaja, tidak minat kerjasama’ – Ahmad Faizal

‘Hanya satu dua pemimpin UMNO sahaja, tidak minat kerjasama’ – Ahmad Faizal

0

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata Bersatu sedia membuka pintu rundingan untuk bekerjasama dengan mana-mana parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka termasuk UMNO.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, ini kerana Bersatu mengamalkan politik yang mesra dan berkasih sayang.

“Bersatu sentiasa buka pintu rundingan dengan sesiapa juga yang mana kami mengamalkan politik yang mesra dan berkasih sayang. Kita tidak mahu bergaduh dengan orang dan memaafkan serta berbaik dengan sesiapa jua.

“Kebanyakan pemimpin di atas sana tidak ada masalah untuk bekerjasama dan mungkin hanya ada satu dua orang (pemimpin) yang tidak berapa minat nak kerjasama,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu sekiranya PRN diadakan.

Dalam perkembangan sama, beliau menyifatkan, keengganan UMNO menjalinkan kerjasama bagi menghadapi PRN Melaka hanya pandangan peribadi pemimpin tertentu.

Malah katanya, pendirian itu tidak mewakili suara majoriti parti dan rundingan seharusnya diadakan dengan mengambil kira sentimen rakyat yang tidak lagi mahu ahli politik terus bercakaran.

“Dalam hidup ini memang kadang-kadang ada orang nak kawan dengan kita dan kadang-kadang sebaliknya. Mungkin kerana cemburu sebab kehebatan serta kelebihan yang ada pada kita.

“Kita bersama dengan sesiapa juga di luar sana yang mengikuti atau bersama perjuangan kita dan kalau ada yang kata tidak mahu bersama dengan kita, itu pandangan peribadi dan pandangan majoriti wadah (parti) yang mereka wakili,” katanya.

Terdahulu, Datuk Seri Ahmad Faizal hadir merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat daerah Alor Gajah di A’ Famosa, hari ini.

Untuk rekod, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan membuat keputusan minggu ini, sama ada akan menasihatkan Pemangku Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat di Melaka bagi menangguhkan PRN.

Difahamkan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam proses mendapat taklimat daripada beberapa pihak berhubung perkara berkenaan, sebelum membuat keputusan.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka terpaksa dibubarkan selepas mendapat persetujuan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Berdasarkan Perkara 19 (4) Perlembagaan Negeri Melaka, apabila DUN dibubarkan, satu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply