Guna bom kereta untuk bunuh orang awam

0

Oleh : RAZALI AWANG

SEKURANG-KURANGNYA 18 terkorban dan berpuluh lagi yang lain dilaporkan cedera dalam siri keganasan terbaru di utara Syria.

Penyerang dikatakan menggunakan bom kereta yang diletakkan di tepi sebatang jalan berhampiran stesen bas di Al Bab.

Dalam kenyataannya, Syrian Observatory for Human Rights (SOHR) mengesahkan sekurang-kurangnya 80 orang awam cedera dalam kejadian pada Selasa (6 Oktober 2020).

Jumlah korban dijangka bertambah kerana sebahagian mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Sehingga kini tiada mana-mana kumpulan mengaku bertanggungjawab, namun terdapat dakwaan ia mungkin angkara pengganas Kurdish, YPG/PKK.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan serangan yang dilakukan dengan sengaja ke atas orang awam”, tulis Penyelaras Kemanusian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Mark Cutts di Twitter sejurus selepas serangan.

Ia kejadian kedua dalam tempoh 72 jam.

Pada Ahad lalu, dua terbunuh manakala tujuh yang lain cedera dalam letupan di salah sebuah pusat pemeriksaan di Al Bab.

Bulan lalu, seorang petugas Bulan Sabit Merah Turki turut terbunuh dalam serangan di kawasan berhampiran.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply