Gantung pelajar yang gagal hadir di sesi PdPR?

0

Pertama sekali saya ingin mengucapkan syabas kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, KPM di mana dalam keterbatasan ini, KPM berjaya mewujudkan suatu sistem pendidikan atau penyampaian ilmu norma baharu iaitu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Jika diamati hasil keputusan beberapa peperiksaan lalu menyaksikan anak-anak Malaysia berjaya menyesuaikan diri dengan sistem pendidikan norma baharu dengan pantas.

Contohnya, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 diumumkan lebih cemerlang meskipun guru dan pelajar berdepan kesukaran sepanjang tahun lalu akibat pandemik Covid-19.

Dilaporkan keupayaan pelajar menguasai tahap minimum Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), menunjukkan peningkatan pada 2020 dengan 88.17 peratus calon telah menguasainya, berbanding 86.70 peratus calon pada 2019.

Menurut Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM Tahun 2020 yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM), sebanyak 19.36 peratus calon SPM 2020 dikategorikan sebagai cemerlang, 31.75 peratus calon berpotensi, manakala 48.89 peratus adalah baik dalam menjawab soalan KBAT.

Walaupun ada segolongan pihak mempertikaikannya, namun yang pasti keputusan itu telah diadili oleh pihak yang pakar.

Bagaimana pula dengan STPM? Kita tunggu pengumuman esok, 1 Julai 2021.

Ironinya, sesi PdPR diteruskan ke tahun 2021. Dalam keadaan sukar ini, saya percaya ibu bapa sedaya upaya cuba memenuhi keperluan anak-anak khususnya aspek pendidikan, kebajikan, makan minum anak-anak dan sebagainya.

PdPR seakan sudah menjadi perkara wajib harian dan keutamaan bagi sebahagian ibu bapa untuk pastikan anak-anak bangun awal untuk hadir bagi sesi PdPR darjah satu. Sesi PdPR darjah satu umpamanya bermula jam 7.30 pagi dan berakhir jam 1 hingga 1.30 petang dengan purata lima ke enam subjek sehari.

Lazimnya selesai kelas, para guru akan menyediakan tugasan sampingan (homework) untuk diselesaikan pada hari yang sama dan ia perlu dihantar ke “Google Class” mengikut subjek.

Itu cerita kehidupan norma baharu ibu bapa di waktu ini.

SARANAN MANTAN MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA.

Beberapa hari lalu, saya terbaca satu artikel bersabit pandangan Mantan Menteri Pendidikan Malaysia yang juga Mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid atau lebih mesra dipanggil Tok Det.

Dalam artikel berkenaan beliau menyuarakan kebimbangan beliau berkaitan kehadiran murid atau keberadaan murid yang mengikuti PdPR.

Kebimbangan beliau mungkin ada asasnya kerana berdasarkan hasil kajian Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati kehadiran murid dalam proses PdPR tidak mencapai 80 peratus.

Namun, jika kajian itu benar, persoalan kini adalah terarah kepada mengapa pelajar-pelajar berkenaan gagal untuk hadir di sesi PdPR?

Menurut Eddy berusia 46 tahun, seorang bapa kepada anak berusia 11 tahun berkata dirinya cukup terkesan dengan keadaan kini. Perniagaannya merosot teruk namun dia bersyukur kerana di waktu ini dia mempunyai banyak masa di rumah bersama anak-anak.

“Saya sebagai ketua keluarga bersyukur kerana punya waktu untuk lihat anak-anak belajar. Namun dalam situasi saya kini tak dapat penuhi keperluan anak-anak nak sediakan sebuah komputer riba untuk kegunaan masing-masing. Cukup makan minum sudah memadai dan kami cuba sedaya upaya membantu anak-anak untuk belajar semasa PdPR”, katanya kepada The Malaya Post.

Senada dengan Eddy, Syed Jefri Tuan Ahmad, 45 tahun. Dia mempunyai tiga anak yang masing-masing berusia 13 tahun, 14 tahun dan 7 tahun.

Katanya pertembungan jadual pembelajaran anak antara cabaran ibu bapa.

“Komputer ada satu sahaja, anak-anak berkongsi. Ada yang gunakan telefon bimbit namun kelajuan internet juga antara kekangan juga dan kami bekerja, walaupun PKP Penuh, kami perlu bekerja demi kelangsungan hidup, berniaga kecil-kecilan sebagai rezeki tambahan. Anak-anak saya akan bekerjasama membantu sesama sendiri. Kami cuba sebaiknya dan ia tidak mudah”, katanya ketika dihubungi The Malaya Post.,

Jika amati luahan di media sosial, ramai ibu bapa mengakui tidak semua anak-anak mempunyai  komputer sendiri, kebanyakannya berkongsi dengan abang dan kakaknya. Waktu kelas pula bertembung.

Itu belum dikira kelajuan internet di sesuatu kawasan tertentu ada juga dikalangan mereka internet di rumahpun dah kena potong.

Bagi keadaan tertentu ada ibu bapa terpaksa menghantar anak-anak ke rumah nenek, atuk dan sebagainya. Bagaimana pula mereka nak membantu anak-anak dalam sesi PdPR sedangkan nak masukkan kod subjek pun tak tahu.

Yang nyata, apa yang penting pada waktu sekarang adalah bagaimana nak cari makan, mencari rezeki halal untuk keluarga demi kelangsungan hidup.

Ya, saya akui Tok Det antara salah seorang ahli politik yang berkualiti. Pun begitu mengambil kira situasi kini sangat berbeza, saya berpendapat, saranan Tok Det perlu diperhalusi sebaik-baiknya.

Usahlah sukarkan lagi keadaan yang sudah sukar. KPM telah laksanakan apa yang terbaik setakat ini. Jika anak-anak dapat siapkan semua tugasan setiap minggu sudah memadai, kerana ia bukan mudah bagi sebahagian besar keluarga.

Justeru menggantung pelajar yang gagal ikuti PdPR adalah kurang sesuai di waktu ini, jika pandangan saya silap, perhalusilah sebaiknya.

Saya percaya KPM sudah di landasan betul dan sedaya-upaya cuba perbaiki dan menambahbaik khidmat KPM untuk kebaikan semua.

NIK SURYANI MEGAT DERAMAN, KETUA PENGARANG THE MALAYA POST “WITHOUT FEAR OR FAVOUR”.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply