Gamat Bola semakin berkurangan dipercayai dijual kepada pihak ketiga dan diimport ke luar negara

0

Populasi gamat dari jenis Gamat Bola atau ‘Ball Sea Cucumber’ dikawasan Pantai Merdeka, Sungai Petani dikesan semakin berkurangan.

Ini disebabkan terdapat segelintir penduduk di sekitar itu menangkap hidupan laut berkenaan dan menjual kepada pihak ketiga.

Kegiatan mengutip gamat di sekitar Pantai Mederka itu dikesan mula berlaku sejak tahun lalu dan dipercayai diimport ke luar negara.

Presiden Persatuan e-Dagang Bumiptera (BETA), Mohd Khairul Anwar Mohd Badroldin menjelaskan masalah kekurangan bekalan gamat kini sedikit sebanyak ia telah menjejaskan pengusaha industri tradisional yang sedia ada.

“Biasanya, pencari gamat untuk industri air gamat hanya menangkap gamat bagi tujuan mengambil airnya sebelum ia dilepaskan semula ke laut.

“Bagaimanapun, ada pihak dikesan menangkap gamat di kawasan ini untuk diproses sebelum dieksport ke luar negara,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Khairul berkata, pihaknya sudah memaklumkan kejadian itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan negeri, Mohd Asmirul Anuar Aris untuk diambil perhatian.

“Kami tidak mahu spesies gamat ini pupus seperti sedang berlaku di Langkawi sehingga pengusaha industri terpaksa mengimport gamat dari luar,” katanya.

Sementara itu, pencari gamat iaitu Mohammad Azri Jamaludin, 38, berkata dia hanya mampu memperoleh kurang 200 gamat berbanding lebih 300 gamat setiap kali mencari hidupan itu sebelum ini.

Katanya, 150 hingga 200 gamat mampu menghasilkan kira-kira 10 liter air gamat, namun jumlah itu kian sukar diperoleh kebelakangan ini.

“Sebelum ini, tidak ramai yang menjalankan kegiatan mencari gamat termasuk penduduk tempatan sendiri.

“Namun, sejak bulan lalu, setiap kali saya turun ke pantai untuk mencari gamat, saya nampak ada beberapa individu lain sedang mencari gamat menggunakan sampan,” katanya.

Tambah Azri, individu berkenaan akan pergi sehingga ke tengah laut dan pulang dengan hasil gamat yang banyak sebelum dipungut pihak luar menggunakan lori. –THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply