Firma Jerman BioNTech hasilkan vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak

0

Firma Jerman, BioNTech menjangkakan mulai Jun ini, vaksin COVID-19 dibangunkan bersama Pfizer akan tersedia untuk kegunaan kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun di Eropah.

Lapor akhbar Der Spiegel, Ketua Pegawai Eksekutif BioNTech, Ugur Sahin, berkata vaksin itu kini pada tahap akhir untuk disiapkan penyerahan bagi kebenaran badan kawal selia Eropah.

Penilaian data ujian percubaan itu akan mengambil masa kira-kira empat hingga enam minggu.

“Adalah amat penting untuk membolehkan kanak-kanak kembali semula kepada alam persekolahan biasa mereka dan membolehkan mereka bertemu keluarga serta kawan,” katanya.

Vaksinasi kanak-kanak dilihat langkah seterusnya yang penting untuk membangunkan sistem imuniti kelompok dan mengakhiri pandemik.

Prospek untuk memberikan inokulasi kepada anak-anak yang lebih tua sebelum sesi persekolahan berikutannya bermula akan mengurangkan tekanan pada ibu bapa yang bergelut mengimbangi persekolahan di rumah dan pekerjaan.

Pfizer BioNTech pada awal bulan ini sudah memohon kebenaran pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) untuk suntikan vaksin bagi kanak-kanak berumur 12 hingga 15 tahun.

Sahin berharap dapat menyerahkan permohonan sama kepada Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) pada Rabu depan.

Langkah itu dibuat selepas BioNTech dan Pfizer pada hujung bulan lalu mengumumkan ujian percubaan klinikal fasa tiga vaksin untuk kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun menunjukkan keberkesanan sehingga 100 peratus.

Kedua-dua syarikat itu berlumba untuk mendapatkan kelulusan vaksin bagi kanak-kanak lebih muda dalam lingkungan umur enam bulan ke atas.

“Pada Julai, keputusan pertama untuk kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun boleh didapati dan kanak-kanak lebih muda pula pada September,” katanya.

Menurut Sahin, ujian percubaan yang sedang berjalan setakat ini amat menggalakkan dan beliau yakin kanak-kanak dilindungi dengan baik oleh vaksin.

Vaksin Pfizer BioNTech dibangunkan berdasarkan teknologi novel mRNA dan ia adalah dos suntikan yang pertama diluluskan di Barat pada tahun lalu.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

 

Leave a Reply