Filem Syurga Yang Tak Dirindukan 3 bakal temui penonton 16 April

0

Pasti peminat filem seberang masih mengingati filem penuh emosi, Syurga Yang Tak Dirindukan 1 (2015) dan Syurga Yang Tak Dirindukan 2 (2017) yang mendapat perhatian ramai sewaktu ditayangkan di Malaysia beberapa tahun lalu.

Filem berat lakonan mantap Fedi Nuril, Laudya Cynthia Bella, Raline Shah dan Reza Rahadian ini mengisahkan kehidupan rumahtangga yang pada mulanya aman damai namun mula berkonflik dek peristiwa yang tidak direncana.

Menerusi platform laman media sosial Instagram rasmi @disneyplushotstarid berkongsi filem Syurga Yang Tak Dirindukan 3 bakal menemui penonton pada 16 April ini menerusi #DisneyPlusHotStarID.

Masih mengekalkan Fedi Nuril dan Reza Rahadian sebagai tunggak utama, filem ini turut dibintangi pelakon Marsha Timothy.

Adakah filem ini merupakan kesinambungan kepada dua filem terdahulu? Jika benar, siapakah Marsha Timothy pada jalan cerita ini? Dimana dan apakah yang terjadi kepada isteri kedua lakonan Raline Shah?

Atau, adakah sekuel filem poligami pilu ini tiada kena mengena dengan filem pertama dan kedua?

Segalanya akan terjawab pada 16 April hadapan…

Terdahulu, filem yang mendapat sambutan hangat ini, mengisahkan seorang lelaki budiman cuba menyelamatkan seorang wanita malang yang akhirnya mengikat hubungan sebagai pasangan suami isteri.

Kemudian, bermulalah episod duka isteri pertama yang pada mula tidak dapat menerima hakikat bahawasanya dirinya perlu berkongsi kasih suami dengan wanita lain.

Namun, pada pengakhiran, isteri kedua memilih untuk mengundur diri demi menjaga hati masing-masing, walaupun ketika itu isteri pertama mulai redha dan ikhlas menerimanya.

Kesinambungan filem kedua menyoroti usaha isteri pertama untuk kembali menyatukan madunya bersama suami.

Menyedari usia semakin singkat kerana menderita penyakit kanser, dia berbuat demikian dengan harapan kebajikan serta kebahagiaan suami dan anak terjamin setelah ketiadaannya. Sungguh menyentuh hati…

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

 

Leave a Reply