Filem James Bond dan Black Widow sebagai sandaran gamit penonton kembali ke pawagam

0

Beberapa filem blockbuster yang sedang berbaris untuk ditayangkan di pawagam diharapkan mampu menghidup seterusnya memenuhi kembali kerusi pawagam pada tahun baru ini.

Demikianlah harapan pengendali dan syarikat pemilik pawagam menerusi perkongsian Reuters.

Menurut rekod, impak dari wabak pandemik COVID-19,  kira-kira dua pertiga pawagam di Amerika Syarikat dan Kanada telah ditutup, sedangkan selama ini ia merupakan antara pasaran filem terbesar di dunia. Kutipan ‘box office’ dilaporkan menjunam sehingga 80 peratus pada 2020 berbanding tahun sebelumnya.

Pun begitu, pemilik pawagam dan penganalisis industri optimis terutamanya apabila vaksin COVID-19 telah mula dilancarkan.

“Industri takkan pulih dalam tempoh yang cepat, sekurang – kurangnya tidak selagi suntikan vaksin belum meluas,” kata pihak berkenaan.

Mereka turut berpendapat serta yakin kekuatan kisah James Bond, Black Widow serta beberapa lagi filem blockbuster baharu yang akan mula ditayangkan pada musim bunga nanti mampu menarik penonton ke pawagam.

Filem James Bond No Time to Die, dari MGM dan Comcast Corp’s Universal Pictures, dijadualkan ditayangkan pada bulan April, manakala Black Widow dari Marvel Studios Walt Disney Co, dan Fast & Furious terbitan Universal dijadualkan ditayangkan pada bulan Mei.

Selain itu beberapa filem musim panas yang dinanti-nantikan termasuk Top Gun: Maverick dari Paramount Pictures ViacomCBS Inc, animasi Universal Minions: The Rise of Gru, dan Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings oleh Marvel.

Keyakinan mereka turut didorong oleh kejayaan filem Wonder Woman 1984 yang ditayangkan sepanjang musim cuti Krismas lalu.

Walaupun angkanya jauh lebih rendah dari debut filem aksi biasa, penjualan tiket untuk filem tersebut ternyata lebih tinggi daripada jangkaan awal, sekalipun penonton di AS mempunyai pilihan untuk menonton filem itu di rumah menerusi HBO Max.

Ini memberi gambaran jika filem terbabit menarik dan penonton dibenarkan kembali ke pawagam, mereka tidak akan teragak-agak untuk datang.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply