Fikirlah: Mengapa Susah Sangat Jaga Kebersihan ?

0

Menjelang sahaja tahun baharu, pastinya setiap orang akan mempunyai azam yang mahu dicapai pada tahun tersebut.

Memetik laporan Bernama, kebiasaannya azam seseorang hanya terarah kepada kejayaan kehidupan atau pelajaran, perubahan cara hidup sihat, malah soal masa depan yang lebih baik dari tahun tahun sebelumnya.

Namun tidak ramai yang mahu melakukan perubahan dan pembaikkan mengenai kebersihan kawasan sekeliling mahupun menjadi individu yang lebih berbudaya sivik serta memantapkan nilai murni dalam diri.

Adakah ini bermakna kita menganggap ia sebagai suatu yang remeh, tidak penting atau langsung tidak mempunyai daya nilai untuk diangkat sebagai ┬┤azam┬┤

Jika dilihat kepada insiden yang berlaku pada malam selepas berakhirnya sambutan ambang tahun baharu di sekitar kawasan ibu kota baru-baru ini, mungkin jawapan kepada persoalan ini adalah ‘Ya’.

Lokasi yang menjadi tumpuan ramai termasuk pelancong dipenuhi dengan pelbagai jenis sampah sarap dengan kepelbagaian jenis plastik makanan dan minuman, malah pelbagai tin semburan, puntung rokok malahan kertas dibiarkan berselerak.

Dalam satu laporan media, sebanyak sembilan tan sampah sarap yang dibuang orang ramai di lokasi menjadi tumpuan di sekitar ibu kota dikutip oleh Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) ketika malam ambang tahun 2020.

Sebanyak empat tan sampah di KLCC, 2.5 tan di Bukit Bintang dan 2.5 tan di Dataran Merdeka telah dikutip pada malam berkenaan, ujar Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan

Tambahnya lagi, untuk membersihkan kesemua sampah sampah berkenaan, pihaknya menggunakan seramai 100 orang termasuk pekerja am, pemandu, penyelia Alam Flora dan 10 unit jentera kompaktor serta pembersihan dan mengambil masa selama lapan jam.

Bayangkan, betapa banyaknya masa dan tenaga terbuang di samping wang ringgit yang perlu dibelanjakan semata-mata untuk menanggung sikap buruk masyarakat yang masih lagi gagal membudayakan nilai murni dan pembersihan di kawasan awam.

Benarlah kata orang, nama sahaja tahun baharu tetapi perangai dan mentaliti masih lagi buruk, di takuk lama, kelas ketiga walaupun hakikatnya kita sudah pun melangkah dekad baharu serta menghampiri 63 tahun usia kemerdekaan.

Isu berkenaan sampah yang dibuang merata rata oleh golongan yang kurang kesedaran nilai sivik ini bukanlah perkara yang baru, namun ianya seolah olah sudah menjadi sebati dalam diri. Persoalannya, susah sangatkah untuk membuang sampah ke tempat yang sewajarnya?

Itu yang membuat pemberita tertanya-tanya setiap kali melihat longgokan atau selerakan sampah di mana sahaja sama ada setiap kali selepas berakhirnya pasar malam, pesta, kenduri-kendara, gerai makan, kawasan pelancongan dan tidak terkecuali, dalam pawagam.

Jika dilihat di panggung wayang pula, ketika hendak melangkah keluar selepas berakhirnya seauatu filem pastinya orang awam akan disajikan dengan melihat segala macam sisa makanan ditinggalkan di atas kerusi termasuk bertih jagung yang bertaburan ditinggalkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab

Sikap beginilah seolah-olah mereka berkelakuan seperti Tuan Besar yang beranggapan segala sampah boleh dibuang sesuka hati mereka. Mungkin mereka fikir kalau buang ikut peraturan, nanti pekerja pembersihan awam tidak ada kerja pula.

Mentaliti sebegitu tidak harus berterusan kerana tidak mustahil sikap memalukan ini akan diwarisi daripada satu generasi kepada generasi seterusnya memandangkan ada penonton datang bersama anak.

Sikap buruk ini mungkin diteladani anak mereka. Kanak-kanak ini mungkin beranggapan tindakan membuang sampah merata-rata itu tidak salah. Bukankah emak ayah buat begitu.

Semua orang mahukan tempat yang bersih dan selesa namun hanya melepaskan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada pekerja pembersihan dan kerajaan tanpa mahu menghulurkan bantuan untuk membersihkan sampah sendiri.

Dalam satu kenyataan media yang lain, bagi kerja kerjapengurusan sampah di kawasan yang dilarang membuang sampah di sekitar Kuala Lumpur, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM200,000 sebulan.

Ianya tidak termasuk lagi mentaliti kelas ketiga penggunaan tandas awam serta merosakkan hak milik awam seperti yang berlaku di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Taman berwajah baharu yang dibuka semula pada 15 Dis 2019 selepas ditutup pada 1 Sept 2018 menjadi sasaran vandalisme oleh pengunjung tidak bertanggungjawab. Keadaan ini membangkitkan kemarahan orang ramai sehingga ada mencadangkan supaya kemudahan yang ditambah baik di taman itu dikenakan bayaran tertentu sebagai bentuk peringatan kepada masyarakat untuk lebih menghargai kemudahan yang disediakan.

Kita harus sedar, tahun ini merupakan Tahun Melawat Malaysia 2020 dan kebersihan merupakan antara aspek penting diambil kira oleh pelancong. Dalam hal ini, kerajaan tidak boleh bergerak sendirian untuk memastikan negara ini bersih.

Semua individu perlu memainkan peranan dan didikan menjaga kebersihan perlu bermula dari rumah iaitu didikan ibu bapa. Ianya bukan satu perkara yang sukar dilakukan, cuma memerlukan disiplin dan amalan berterusan. –THE MALAYA POST

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel
Untuk perkembangan berita dan isu semasa
tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply