EURO 2020 : Jorginho pastikan final milik Itali

0

Sepakan penalti Jorginho membawa Itali ke final Euro 2020 dengan menewaskan Sepanyol 4-2 dalam penentuan penalti selepas perlawanan terikat 1-1.

Gol penyamaan lewat permainan Alvaro Morata menyaksikan Sepanyol berjaya mengheret permainan ke masa tambahan.

Ia selepas Federico Chiesa meletakkan Itali di depan pada minit ke-60.

Morata yang pertama kali bermula di bangku simpanan dalam kejohanan ini, dimasukkan pada minit ke-62 oleh Luis Enrique menggantikan Ferran Torres.

Percaturan Enrique ternyata membuahkan hasil apabila Morata menjaringkan gol penyamaan 10 minit sebelum tamat permainan selepas bermain satu dua dengan Dani Olmo.

Morata yang sebelum ini terikat dengan Fernando Torres pada lima gol, kini mendahului senarai penjaring Sepanyol di pusingan akhir Kejuaraan Eropah dengan enam gol.

Masa tambahan berlalu tanpa sebarang gol dan permainan ditentukan menerusi sepakan penalti dengan Jorginho memastikan kemenangan Itali selepas sepakan Morata diselamatkan Gianluigi Donnarumma.

Sebelum itu Unai Simon menyelamatkan sepakan pertama Itali yang diambil Manuel Locatelli tetapi sepakan tersasar Olmo menjadikan kedudukan kembali seimbang.

Itali akan bertemu sama ada England atau Denmark, yang akan beraksi awal pagi esok, pada final di Wembley Ahad ini.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply