Elisya Sandha sah milik Uzair

0

Pelakon manis Elisya Sandha atau nama sebenarnya Nur Elisya Hassan sah bergelar isteri kepada anak Sutradara Sheila Rusly, Uzair Haqimy.

Upacara akad nikah berlangsung di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak pada jam 3.11 petang semalam 21 Ogos 2021 berwalikan bapa pengantin perempuan, Mohd Faisal Abdullah.

Elisya menerima mas kahwin berupa seutas gelang emas putih, wang hantaran berjumlah RM22,222.22 selain lima dulang hantaran dan dibalas tujuh oleh pihaknya.

Menerusi hantaran di Instagram peribadinya, adik kepada pelakon Fasha Sandha ini berkongsi foto mereka suami isteri dalam persalinan putih sedondon rekaan Teh Firdaus dan tampil berseri dengan sentuhan dandanan penatarias terkenal, Datuk Alha Alfa.

Menjengah ke ruangan komen, pengikut termasuk rakan artis mula menurunkan ucapan tahniah serta mendoakan kebahagiaan mereka.

Untuk rekod, Elisya, 21, dan Uzair, 25 sudah lama saling mengenali iaitu sejak di bangku sekolah lagi.

Mereka mengikat tali pertunangan pada 31 Januari lalu setelah lima tahun menyulam cinta.

Kini mereka sama-sama dalam bidang seni di mana Uzair merupakan seorang pengurus produksi, manakala Elisya aktif berlakon.

Antara drama yang pernah diterajui Elisya adalah Hello Jangan Tapau Cintaku, Ratu Ten Pin, Pujaan Hati Kanda dan Nasi Kerabu Untuk Cik Abe.

Tahniah dari kami warga kerja The Malaya Post. Semoga kekal berbahagia hingga ke Jannah. –THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply