Eksklusif : Pendedahan mangsa scammer ditawarkan kerja sebagai ejen jualan di platform e-dagang

0

Isu ‘scammer’ atau penipu siber semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Pergantungan orang ramai terhadap pembelian secara dalam talian menyebabkan semakin banyak sindiket menjadikan syarikat perniagaan terkenal sebagai umpan.

Ada pula menggunakan nama selebriti popular, tidak kurang yang kecewa akibat penipuan percintaan dalam talian atau lebih dikenali sebagai ‘love scammer’.

Dalam satu temubual eksklusif bersama  wartawan The Malaya Post, Zuraihan Mukhtar, seorang mangsa penipuan siber, dikenali sebagai Seri, berkongsi pengalamannya ditipu sindiket yang menggunakan nama Shopee sebagai tarikan.

Seri mengakui dia mengalami kerugian RM7,000 akibat penipuan sindiket berkenaan.

Pada awalnya menurut Seri, dia telah terbaca satu iklan kerja ‘part time’ dan ‘data entry berkolaborasi dengan Shopee di laman media sosial seperti Instagram dan Facebook serta menjanjikan komisyen sehingga RM500 sehari.

Seri mendedahkan dia telah menghubungi nombor yang diiklankan untuk bertanyakan kerja sambilan dimaksudkan.

Katanya, sebaik menghubungi nombor tertera, wakil syarikat itu telah menghubunginya dan memperkenalkan diri sebagai ‘petugas khidmat pelanggan’ daripada Shopee.

Skop pekerjaan yang ditawarkan adalah sebagai ejen jualan dan pemasaran di platform e-dagang iaitu menaikkan rating jualan produk atau kedai yang kurang mendapat sambutan atau kurang popular.

“Saya diminta mengikuti arahan mudah sahaja iaitu tekan link berkenaan, masukkan barang dalam ‘cart’. Tangkap layar atau screen shot dan hantar pada nombor tadi.

“Setelah selesai dia minta untuk memasukkan jumlah wang barang tersebut ke akaun yang diberi dan apabila saya periksa ia nombor akaun peribadi”, jelas Seri.

Katanya lagi, transaksi perlu dilakukan dalam tempoh 10 minit, atau wang tersebut tidak dapat dikembalikan.

“Lima transaksi atau ‘task’ perlu dilakukan untuk mendapatkan komisyen sejumlah RM388. Pada ‘task’ terakhir, bermulalah penipuan ‘scammer’ ini.

“Scammer telah memberi alasan terdapat masalah pada sistem dan tidak dapat melakukan pemindahan komisyen.

“Ia dapat diselesaikan dengan memasukkan sebanyak RM10,000 pada akaun tersebut bagi tujuan account clearance”, jelasnya.

Menurut ibu muda ini, dia telah dihubungi ‘petugas khidmat pelanggan’ menerusi panggilan whatsaps dan dipaksa untuk membuat transaksi tersebut.

Pada ketika itu, dia ragu-ragu untuk berbuat demikian dan mula mengesyaki ini adalah kerja ‘scammer’.

Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Senai dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

Nasihat Seri, janganlah mudah percaya dan terpedaya dengan penipuan sebegini dan jadikan iktibar dari kisahnya.

“Jika tidak pasti, selidik terlebih dahulu dari sumber rasmi sebelum membuat sebarang keputusan. Scammer memang bijak, tetapi kita perlu lebih bijak”, kata Seri kepada The Malaya Post.

Semoga perkongsian ini dijadikan panduan dan sandaran untuk kita semua. –THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply