Duduk di rumah sunnah yang paling utama untuk masa ini – Nasharudin Mat Isa

0

Oleh : Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa

‘Social Distancing’ dan ‘Self Quarantine’ adalah dua istilah yang sedang banyak dibicarakan dalam sehari dua ini. Kedua dua usaha ini adalah antara pendekatan yang disarankan oleh pihak yang berwajib untuk mengelakkan dari tersebar nya virus yang sedang melanda seluruh dunia.

YAB Perdana Menteri didalam ucapannya malam tadi telah menegaskan bahawa antara sebab Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan adalah untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

YAB PM berulang kali menyebut dan merayu agar mereka yang tidak terlibat dibarisan hadapan untuk ‘stay at home’. Begitu juga dengan ucapan KP KKM yang turut meminta supaya kita berada dikediaman masing masing.

Malangnya sebentar tadi YB Menteri Pertahanan memaklumkan bahawa masih ada kira-kira 40% rakyat kita yang tidak mematuhi perintah tersebut. Masih ramai yang kelihatan tidak menghiraukan arahan tersebut dan bertindak seolah olah tidak ada apa apa yang sedang berlaku. Ada kah maklumat tidak sampai kepada mereka atau memang sikap segolongan dari ahli masyarakat kita yang tidak prihatin dan hanya bersikap mementingkan diri sendiri.

Salah satu dari kaedah didalam usul fiqh adalah;
تصرف الامام منوط بالمصلحة
Yang bermaksud: “Tindakan seorang ketua (pemerintah) adalah berdasarkan kepada kemaslahatan

Apabila Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan oleh kerajaan, ianya bermaksud untuk menjaga maslahah keseluruhan kita samaada warganegara mahupun pendatang.

Pihak berwajib sedang bertungkus lumus sekarang ini melalui semua agensi nya untuk mengekang penularan wabak tersebut. Apa yang dilakukan itu adalah tidak lain tidak bukan demi maslahah dan manfaat kita juga.

Dua nyawa telah hilang dan jumlah yang dijangkiti juga semakin meningkat, maka itu, taati lah Perintah Kawalan Pergerakan tersebut demi kepentingan dan keselamatan kita semua.

Setiap arahan dan ketetapan daripada pemerintah adalah wajib dipatuhi dan ditaati, berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّـهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.Surah al-Nisa 59

Dalam suasana sekarang ini tidak ada yang lebih ‘sunnah’ dalam amalan kita melainkan mengikuti apa yang telah di sabdakan sendiri oleh Rasulullah SAW. ini lah waktunya untuk sama sama kita hidupkan Sunnah Nabi SAW yang ini, selain dari amalan amalan sunnah yang lain, demi menjaga agama dan nyawa manusia, dan bukan memahami Sunnah itu dalam ruang nya yang sempit hanya untuk manfaat peribadi sahaja.

Solat Jumaat yang fardhu pun telah difatwakan untuk ditangguhkan, apalah sangat perhimpunan perhimpunan lain walaupun atas nama agama dan sebagainya. Alhamdulillah Kerajaan Indonesia telah mengarahkan untuk ijtima tabligh Asia di Sulawesi dibatalkan. Bayangkan fitnah kepada Islam dan orang orang Islam sekiranya ada dikalangan mereka yang hadir itu dijangkiti dan didapati positif COVID-19.

Kesatuan Ulama Muslimin Antarabangsa, melalui Pengerusi nya Sheikh Dr. Ahmad Raisuni telah menyatakan bahawa fatwa menangguhkan Solat Jumaat dan Solat berjamaah adalah bersandarkan kepada dalil Al Quran dan Sunnah dan ianya adalah berkaitan dengan keperluan yang bersifat darurat demi memelihara keselamatan nyawa manusia.

Fatwa tersebut adalah dibina diatas Firman Allah SWT:

ولا تلقوا بأيديكم إلى التهلكة وأحسنوا إن الله يحب المحسنين

‘Maka janganlah kamu humbankan diri kamu kedalam kebinasaan dan berlaku ihsan lah kerana sesungguhnya Allah (SWT) mengasihi orang orang muhsinin.’

Fatwa ini turut disandarkan kepada hadith Nabi SAW ;

لا ضرر ولا ضرار
‘Tidak boleh mudarat dan tidak boleh memudaratkan’

Sehubungan dengan itu, perintah untuk berada di kediaman masing masing adalah sesuatu yang bertepatan dengan hukum syara’ dan merupakan Sunnah yang paling besar ganjaran nya Insyaallah disisi Allah SWT.

Tanpa kita sedari, dalam keadaan kita sedang mengurung diri kita dirumah, sambil kita melakukan kerja yang bermanfaat, pada masa itu juga kita sebenar nya sedang memperolehi pahala kerana menghidupkan salah satu dari Sunnah Nabi SAW.

Sabda Rasulullah SAW;

لَا يُورِدَنَّ مُمْرِضٌ عَلَى مُصِحٍّ

Yang bermaksud: “Yang sakit janganlah mendatangi yang sihat.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

إِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَقْدَمُوا عَلَيْهِ وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ

“Apabila kamu mendengarnya (wabak) di sesuatu tempat, maka janganlah kamu pergi ke situ. Dan apabila ia berlaku di tempat kamu, maka janganlah kamu keluar lari daripadanya.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Kedua dua hadith ini punya kaitan yang cukup jelas dengan perintah untuk masyarakat berada dikediaman masing masing pada ketika sesuatu wabak.

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bahawa Nabi SAW bersabda:
وَفِرَّ مِنْ الْمَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنْ الْأَسَدِ
Maksudnya: Larilah daripada penyakit berjangkit seperti mana kamu lari daripada singa.

Teruskan lah berdoa dan bermunajat agar negara kita dan keseluruhan rakyat nya begitu juga dunia ini dihindarkan Allah SWT dari terus merebak nya wabak ini, disembuhkan segera semua yang telah dijangkiti dan dinyahkan terus wabak ini dari kita semua.

Nasharudin Mat Isa
Bandar Bukit Mahkota
Kajang.

*Datuk Dr. Nasharuddin Mat Isa adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM). Di peringkat parti, beliau merupakan mantan Timbalan Presiden PAS (2005-2011).

*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply