Dua pihak beritahu dua versi berbeza, polis sedang kenal pasti keberadaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada hari kejadian cabul didakwa berlaku

0

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberitahu pihak berkuasa sedang mengenal pasti di mana Dato’ Seri Anwar Ibrahim berada pada hari beliau dituduh melakukan kesalahan mencabul bekas pegawai penyelidiknya, Muhammad Yusoff Rawther.

Beliau berkata dua pihak memberitahu pihak polis dengan dua versi berbeza berkenaan keberadaan Presiden PKR berada pada tarikh dan hari berkenaan.

“Saya percaya (jika ini dapat diketahui), ia cuma (suatu kes) seorang berkata A (manakala) pihak lain pula kata B.

“Sekarang, polis cuba mengenal pasti di mana Dato’ Seri Anwar pada 2 Oktober 2018. Pasal seorang kata A, seorang kata B. Kita akan teruskan usaha,” jelasnya pada sidang akhbar di Bukit Aman.

Pada 4 Disember lalu, Muhammad Yusoff Rawther, 26, yang bekerja sebagai pegawai penyelidik kepada presiden PKR itu mendakwa dicabul Anwar.

Dalam akuan berkanun (SD) yang dibuatnya, Yusoff mendakwa kejadian itu berlaku pada 2 Oktober 2018 ketika kempen PRK Port Dickson dan beliau menafikan perkara terbabit.

Polis telah membuka suatu kertas siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat mencabul kehormatan.

Terdahulu, Yusoff Rawther telah disoal sebanyak dua kali sebelum diminta menjalani ujian poligraf.

Polis telah merekodkan kenyataan lapan saksi setakat ini.

Dato’ Seri Anwar juga telah disoal dan polis telah mengunjungi kediaman beliau di Segambut sebagai sebahagian daripada proses siasatan.

Sementara itu, Tan Sri Abdul Hamid berkata ujian poligraf yang dilakukan ke atas Yusoff Rawther pada 17 Disember lalu tidak boleh digunakan sebagai bukti di mahkamah.

Katanya, ujian itu digunakan untuk menentukan jika kenyataan yang diberikan kepada polis adalah betul.

“Ujian poligraf sebenarnya tidak diterima dalam proses mahkamah sebagai bukti.

“Ujian poligraf hanya digunakan dalam pasukan siasatan, untuk membantu siasatan meyakinkan penyiasat yang disoal bercakap benar atau tidak.

“Jadi, kalau kita dapati dia cakap benar ikut ujian tadi, kita gandakan lagi usaha kita aspek mana yang lemah yang kita tiada bukti tadi, pasal kita percaya dia cakap betul,” jelas beliau pada sidang akhbar.

Sehingga ke hari ini, katanya polis masih belum dapat menentukan samada Yusoff Rawther telah bercakap benar mahupun sebaliknya.

Leave a Reply