Kekalkan UMT dan pulangkan UniSZA kepada Terengganu – Mantan VC UMT

0

Susulan keputusan Kabinet  yang telah bersetuju penggabungan di antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) secara berprinsip pada 4 September lalu, terus mendapat bantahan keras.

Ia bukan sahaja dari mahasiswa kedua-dua universiti malah golongan intelektual yang telah menjadi tulang belakang kepada penubuhan UMT dan UniSZA.

Bagi Profesor Emeritus Dato’ Dr Sulaiman Md Yassin yang juga Mantan Naib Canselor KUSTEM (13 Oktober 2004 – 31 Januari 2007) dan UMT (1 Februari 2007 – 12 April 2009) berpendapat jika pencantuman atau struktur yang ingin diubah tidak begitu matang, ia akan membantutkan proses pematangan Universiti.

Ini kerana untuk membina sebuah Universiti yang terurus ia agak mudah namun untuk memartabatkan Universiti yang terbilang memerlukan pasak dan asas yang sangat kukuh di samping DNA lengkap.

“Dalam melengkapkan keperluan itu, ia memerlukan masa dan membina kematangan yang cukup.

Sebagai contoh, satu model hybrid sekalipun, ia pasti memerlukan banyak rombakan dan tukar ganti kerana proses ini memerlukan ‘design’ dan ‘enjin’ yang baru.

Semestinya falsafah, matlamat dan visi perlu dijana dan ‘mind-set’ serta ‘branding’ yang baharu perlu digubal semula” katanya.

Tambahnya ia sememangnya mencabar dan boleh merencatkan produktiviti lama yang sukar untuk dijangkakan.

Bagi Mantan Exco Pendidikan Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Dr Abdul Latif Awang pula bertegas juga bersetuju agar UMT dikekalkan dan kepimpinan kerajaan pusat perlu mengembalikan semula Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

Bercerita lanjut, beliau berkata teras dan asal penubuhan UniSZA bermula dengan Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA).

“KUSZA mula ditubuhkan pada tahun 1981 di bawah suatu enakmen Kerajaan Negeri Terengganu dan status pada era itu sama dgn Institut Teknologi Mara (ITM).

Perbezaannya ITM di bawah kerajaan Pusat manakala KUSZA pula di bawah Kerajaan Negeri Terengganu”, katanya.

Ujarnya lagi, apabila Akta Universiti & Kolej diwartakan semua institusi kerajaan pusat di kategorikan dibawah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan diwujudkan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Tambahnya, pada tahun 1998, timbul permasalahan yang mana KUSZA bukan IPTA mahupun IPTS sedangkan pada mulanya ia diletak dibawah IPTK( kerajaan negeri).

“Pada tahun 2001 , Menteri Pelajaran berhajat untuk menutup KUSZA kerana ketiadaan status dan para pelajar Luar Negara tidak dapat masuk ke KUSZA. Ianya berlaku dalam tempoh 2001-2004.

Pada tahun 2004 , Kerajaan telah mengambil inisiatif utk pengstrukturan semula iaitu KUSZA dan dikategorikan di bawah IPTS sebagaimana TATI UC dengan stateholdernya adalah Kerajaan Negeri”, katanya.

Untuk itu, jelas beliau kerajaan negeri telah memohon kepada kerajaan pusat untuk menubuhkan sebuah lagi IPTA di Terengganu.

“Bagi menjayakan misi berkenaan, satu siri dialog dengan anggaran 300 orang pensyarah dari KUSZA, maka telah mencapai satu persetujuan bahawa KUSZA dimohon sebagai teras kepada sebuah Universiti Awam baru, dengan mengekalkan semua program Diploma yang ada dan menambah fakulti-fakulti baru termasuk sebuah Fakulti Perubatan”, katanya.

Untuk rekod kerajaan negeri menghantar cadangan permohonan pada tahun 2005, dan pada Mac 2006 telah ia telah mendapat kelulusan dari kabinet.

Pada May hingga Jun 2006, satu pengumuman penubuhan dibuat oleh Perdana Menteri di Dewan Sultan Mizan, UMT.

“Pada Disember 2006, seorang Naib Canselor baru iaitu Prof Alias Daud mula bertugas di kampus sementara di hadapan Hospital Sultan Nur Zahirah (HSNZ) yang merupakan tapak Kolej TESDEC,  dengan nama asal, Universiti Darul Iman Malaysia” katanya lagi.

Pendek kata kedua-dua bekas tulang belakang kepada penubuhan awal universiti-universiti ini berpendapat, UMT wajar di kekalkan sebagai universiti yang memfokuskan bidang kelautan dan sains marin.

Manakala Unisza pula patut dipulangkan semula kepada Kerajaan Negeri Terengganu berlandaskan keputusan menang-menang.

Leave a Reply