Dron lautan seperti papan luncur robotik, rakam taufan Kategori Empat

0

Ini pula berita kemajuan teknologi dunia yang wajar dipuji.

Saintis Amerika Syarikat (AS) semalam mengemudi sebuah dron lautan dilengkapi kamera yang kelihatan seperti papan luncur robotik, ke dalam taufan Kategori Empat yang sedang merentasi Lautan Atlantik.

Menurut satu kenyataan dikeluarkan Saildrone Inc di portal rasminya, ia merupakan pencapaian yang pertama seumpamanya di dunia.

Rakaman dramatik dikeluarkan Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Nasional (NOAA) menunjukkan dron kecil itu bergelut dengan keadaan ombak setinggi 15 meter serta angin berkelajuan 190 kilometer sejam dalam Taufan Sam.

Kenderaan autonomi dipanggil ‘Saildrone’ itu dibangunkan sebuah syarikat yang mempunyai nama sama, dengan panjang tujuh meter dan dikuasakan oleh angin.

Ia dilengkapi ‘sayap taufan’ dengan reka cipta khas untuk bertahan dalam keadaan taufan ketika mengumpulkan data bagi membantu saintis lebih mendalami kejadian alam itu.

 

Menurut laman sesawang Saildrone, ia boleh merekod ukuran seperti kelajuan serta arah angin, tekanan barometrik, suhu, tahap kemasinan dan kelembapan.

“Kami berharap dapat menambah baik model ramalan yang meramal peningkatan pantas ribut taufan.

“Peningkatan taufan secara pantas apabila kelajuan angin semakin kencang dalam tempoh beberapa jam, adalah ancaman serius terhadap komuniti pantai.

“Justeru, data dikumpulkan daripada sistem tanpa kru, akan membantu menambah baik model terbabit,” kata saintis NOAA, Greg Foltz, dalam satu kenyataan.

Saintis memberi amaran perubahan iklim mengakibatkan pemanasan laut dan taufan menjadi semakin kuat, sekaligus meningkatkan risiko terhadap komuniti pantai.

–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply