Dr Latiff bawa ibu dan bapa beliau berusia 90an suntik vaksin

0

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad telah meluangkan masa membawa kedua ibu bapa beliau untuk menerima suntikan vaksin dos pertama di pusat pemberian vaksin bertempat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Mersing semalam.

Bapa Haji Ahmad Syukor 94 tahun dan ibu Hajah Hasnah Roslan 90 tahun menerima dos pertama vaksin berkenaan bersama 233 warga emas di bawah fasa ke-2 di Parlimen Mersing sejak 2 Mei lalu.

“Di kesempatan in, saya berpeluang membawa ibu dan bapa saya berumur 90 dan 94 tahun untuk mendapatkan vaksin dos pertama. Alhamdulillah, ia berjalan dengan lancar. Setelah disuntik vaksin, mereka diletakkan di bahagian pemerhatian sebelum pulang.

“Diharapkan seluruh rakyat Malaysia yakin dengan pengambilan vaksin Covid-19 bagi mengawal pandemik itu daripada terus merebak.

“Ini suatu usaha mengelak jangkitan sekaligus menjamin keselamatan dan kesihatan rakyat”, katanya ketika hadir di program vaksinasi Covid-19 peringkat daerah Mersing di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim pada Khamis.

Dalam pada itu ke dua ibu bapa Datuk Dr Abdul Latiff ketika ditemui media meluahkan rasa lega kerana sudah menerima suntikan pertama vaksin.

“Saya bersyukur kerana sudah memperoleh vaksin. Sewaktu disuntik sebentar tadi saya tidak rasa sakit,” katanya ketika hadir di program vaksinasi Covid-19 peringkat daerah Mersing di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim semalam.

Untuk rekod seramai 180 orang layak untuk menerima dos pertama vaksin di daerah Mersing semalam.

Dalam pada itu, sebanyak 191 buah Pusat Komuniti Desa (PKD) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dijadikan Pusat Daftar Vaksin Luar Bandar bermula 20 Mei ini.

Datuk Dr Abdul Latiff berkata, langkah itu dilakukan bagi memastikan seramai 7.6 juta masyarakat luar bandar tidak ketinggalan menjadi penerima vaksin dalam Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan.

Ahli Parlimen Mersing itu berkata, kementeriannya menyasarkan peningkatan sebanyak 20 hingga 30 peratus jumlah pendaftaran vaksin sedia ada serta mempercepatkan lagi proses imunisasi Covid-19 terutama masyarakat luar bandar.

“Langkah menjadikan PKD sebagai Pusat Daftar Vaksin Luar Bandar merupakan usaha pendekmorasian aksesibiliti atau memudahkan masyarakat luar bandar menerima vaksin Covid-19.

“Inisiatif ini dilakukan bagi memastikan penduduk luar bandar tidak tercicir dalam Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan,” katanya.

Tambah beliau, KPLB bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi menyelaraskan pelaksanaan Agen Basmi Covid-19 (ABC-19) sebagai langkah pemerkasaan komuniti luar bandar dalam menangani penularan Covid-19.

“Kementerian bekerjasama dengan Nadma di bawah pengurusan Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Sri Mohd Redzuan Md Yusof bagi menyelaraskan ABC-19 yang diuruskan antara KPLB dan Nadma.

“KPLB menerusi agensi-agensi yang berada di lapangan seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah, (FELCRA Berhad), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan sebagainya sentiasa meningkatkan promosi dan publisiti mengenai keperluan pengambilan vaksin kepada masyarakat luar bandar,” katanya

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib, Pegawai Daerah Mersing, Mohd Radzi Mohd Amin dan Pegawai Kesihatan Mersing, Dr Norzaher Ismail. –THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply