Doa : Senjata Orang Beriman

0

Oleh : Nasharudin Mat Isa

YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhiyidin Yasin hari ini mengakhiri sidang akhbar nya dengan doa. Antara isi kandungan doa beliau adalah;

‘Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim

Engkau ampunilah dosa-doa kami
Engkau rahmatilah diri kami, keluarga kami dan negara kami.

Engkau lindungilah hamba-hamba Mu yang kerdil ini dari segala musibah. Engkau jauhilah diri kami dari penyakit yang merbahaya dan wabak yang mengancam nyawa.
Engkau hindarilah kami dari bala yang berat dan takdir yang buruk.

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim

Engkau berilah kekuatan, kecekalan dan kesabaran kepada kami untuk menghadapi dugaan-Mu yang berat ini.Engkau tiupkanlah ketenangan dalam jiwa kami Sesungguhnya setiap dugaan yang Engkau turunkan kepada kami Ya Allah tiadalah ia melainkan untuk meningkatkan ketaqwaan dan keimanan kami kepada Mu.’

Moga doa ini di makbulkan Allah SWT kerana ianya adalah dari seorang pemimpin utama negara yang mewakili jutaan rakyat yang sedang diuji dengan satu ujian yang besar.

قال تعالى: {وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ}
[غافر:60].
Allah SWT telah berfirman ‘ Dan telah berkata Tuhan kamu, berdoa lah kalian kepada Ku, maka akan Aku perkenankan’. Surah Ghafir 60.

Doa adalah senjata orang yang beriman. Islam mengajar kita bahawa setiap satu kejadian dan penciptaan itu adalah dengan kehendak Allah SWT jua. Dia lah yang mencipta kehidupan dan dia juga yang mencipta mati. Dia yang mencipta dunia dan dia lah juga yang melenyapkan nya nanti. Dialah yang mencipta apa sahaja yang dia kehendaki dan dia juga lah yang mengangkat nya semula apabila dia mahu.

Dia lah yang mendatangkan wabak COVID-19 dan dengan kehendak nya jua, Dia lah juga yang akan melenyapkan nya dari kita semua.

Doa adalah merupakan ibadah yang dianjurkan kepada kita. Doa yang dilakukan dengan ikhlas dan mengharap hanya kepada Allah SWT, insyaallah akan di makbulkan Allah SWT. Yang penting adalah kita hendak lah berbaik sangka dengan Allah SWT bahawa Dia akan memakbulkan doa kita, kalau tidak hari ini, mungkin besok atau mungkin juga lusa.

Jangan sekali kali kita berputus harap dengan Allah SWT. Pihak kerajaan sedang berusaha, kita sebagai rakyat juga sedang berusaha, dan kita perkuatkan pula usaha itu dengan doa mengharap belas ehsan dari Allah SWT. Kita akui lah dihadapan Allah SWT bahawa kami hamba mu Ya Allah adalah lemah, kami telah melakukan banyak dosa, banyak ketika nya kami lalai dan alpa kepada mu Ya Allah. Kami sedang berusaha sekadar kemampuan kami untuk berdepan dengan ujian mu ini, bantu lah kami Ya Allah.

Kalau kita lihat dari panduan Al Quran terdapat banyak peristiwa yang di beritakan Allah SWT melalui kisah kisah yang terdapat didalam nya yang membuktikan bagaimana perkara perkara yang diluar jangkaan manusia boleh berubah dengan doa. Saya nukilkan disini satu contoh Al Quran yang berkaitan dengan doa.

Firman Allah SWT:

كهيعص

] Kaaf, Haa, Yaa, Ain, Saad

ذِكْرُ رَحْمَتِ رَبِّكَ عَبْدَهُ زَكَرِيَّا

[2] (Ini ialah) perihal limpahan rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad), kepada hambaNya Zakaria.

إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ نِدَاءً خَفِيًّا

[3] ketika Nabi Zakaria berdoa kepada tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan.

قَالَ رَبِّ إِنِّي وَهَنَ الْعَظْمُ مِنِّي وَاشْتَعَلَ الرَّأْسُ شَيْبًا وَلَمْ أَكُنْ بِدُعَائِكَ رَبِّ شَقِيًّا

[4] Ia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang -tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku wahai Tuhanku tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu.

وَإِنِّي خِفْتُ الْمَوَالِيَ مِنْ وَرَائِي وَكَانَتِ امْرَأَتِي عَاقِرًا فَهَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ وَلِيًّا

[5] Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas ugama sepeninggalanku; dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisiMu seorang anak lelaki.

يَرِثُنِي وَيَرِثُ مِنْ آلِ يَعْقُوبَ ۖ وَاجْعَلْهُ رَبِّ رَضِيًّا

[6] Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub; dan jadikanlah dia wahai Tuhanku seorang yang diredhai serta disukai”.

يَا زَكَرِيَّا إِنَّا نُبَشِّرُكَ بِغُلَامٍ اسْمُهُ يَحْيَىٰ لَمْ نَجْعَلْ لَهُ مِنْ قَبْلُ سَمِيًّا

[7] (Nabi Zakaria diseru setelah dikabulkan doanya):”Wahai Zakaria! Sesungguhnya Kami memberikan khabar yang mengembirakanmu dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya, yang kami tidak pernah jadikan sebelum itu, seorangpun yang senama dengannya”.

Ayat 1 sehingga 7 didalam Surah Maryam ini mengkesahkan kepada kita bagaimana Allah SWT berfirman tentang kisah dan doa Nabi Zakaria alaihi salam. Menurut Al Imam Ibnu Kathir didalam tafsirnya bahawa Nabi Zakaria alaihi salam adalah merupakan salah seorang Nabi yang utama dari kalangan Nabi Nabi yang diutuskan dari kalangan Bani Israel. Di sebutkan didalam Sahih Al Bukhari bahawa Baginda adalah seorang tukang kayu yang menerima upah dari hasil kerja nya.

Didalam ayat ke tiga surah ini, Allah SWT telah berfirman bagaimana Nabi Zakaria alaihi salam sentiasa berdoa dengan merendahkan suaranya iaitu dalam erti kata lain sentiasa merendah diri dan tawadhu’ dengan penuh harapan kepada Allah SWT supaya dikurniakan seorang zuriat bagi mewarisi risalah kenabian yang di bawanya. Baginda sentiasa bermunajat sedemikian memandangkan usia diri nya yang sudah tua dan isterinya pula seorang yang mandul. Walaupun setelah sekian lama berdoa, dan belum dikurniakan zuriat, tetapi Baginda tidak pernah berputus asa dan sentiasa pula bersangka baik dengan Allah SWT.

Dari segi adat nya, dengan umur nya yang sudah lanjut dan isterinya pula mandul, adalah mustahil bagi Nabi Zakaria akan mendapat seorang zuriat. Namun demikian, Baginda tidak berputus asa dan apa yang Baginda lakukan? Jawapan nya adalah berdoa tanpa berputus asa, bersangka baik dengan Allah SWT. Walaupun ianya sesuatu yang diluar jangkaan pemikiran akal manusia biasa tetapi kekuasaan Allah itu melewati segala sesuatu. Akibat dari keberkatan dan sabar nya Nabi Zakaria dan keluarga Baginda, maka Allah SWT mengkabulkan doa nya. Firman Allah SWT yang bermaksud;

(Nabi Zakaria diseru setelah dikabulkan doanya):”Wahai Zakaria! Sesungguhnya Kami memberikan khabar yang mengembirakanmu dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya, yang kami tidak pernah jadikan sebelum itu, seorangpun yang senama dengannya”.

Berkat doa nya, Nabi Zakaria telah dikurniakan sorang anak lelaki iaitu Nabi Yahya yang kemudian nya telah mewarisi nya sebagai seorang Nabi untuk meneruskan risalah tauhid dan Iman yang dibawa nya.

Ramai yang mengulas dan menyebut bahawa mereka sebak bila YAB Perdana Menteri sendiri berdoa dan di aminkan oleh ramai rakyat Malaysia. Ya kalau Nabi Zakaria telah berdoa, semua para Nabi telah berdoa, Rasulullah SAW sentiasa berdoa apa tah lagi kita sebagai hamba Allah SWT yang kerdil, tidak ada tempat lagi untuk memohon rahmah belas ehsan melainkan hanya kepada Mu Ya Allah.

ربنا تقبل منا دعائنا
Ya Tuhan kami, terima lah dari kami doa kami.

Nasharudin Mat Isa
Bandar Bukit Mahkota
Kajang.
25.04.20

*Datuk Dr. Nasharuddin Mat Isa adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM). Di peringkat parti, beliau merupakan mantan Timbalan Presiden PAS (2005-2011).

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili The Malaya Post.

*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply