Datuk Hans Isaac umum bersara dari bidang seni

0

“Semua perkara yang baik akan ada pengakhiran.”

Demikian kata pelakon popular tanah air, Datuk Hans Isaac yang membuat keputusan untuk mengundur diri setelah lebih 25 tahun bergelar anak seni.

Memetik hantaran di Instagram peribadinya, sudah tiba masa untuk beliau beralih ke bidang lain demi menambah baik pencapaian diri dan mengusahakan sesuatu yang lebih menjamin masa depan, di samping ingin memberi peluang kepada mereka yang di sekelilingnya.

“Bagi yang amat mengenali saya, mereka akan memberitahu anda bahawa saya bukan jenis yang duduk dan tidak melakukan apa-apa.

“Saya selalu bertanya kepada diri sendiri “Apa dan siapa Hans yang seterusnya?”

“Apabila saya telah mencapai matlamat tertentu, bagaimana saya boleh menambah baik dan pada masa yang sama memberi peluang kepada orang lain di sekeliling saya?”

Datuk Hans, 50, dalam pada itu menzahirkan kesyukuran serta berterima kasih kerana telah diberi peluang, diterima dan direstui sepanjang 25 tahun penglibatannya dalam dunia hiburan.

“Kerana jika tidak ada orang yang percaya kepada saya sebelum ini, maka tidak akan ada Hans Isaac si pelakon.

“Dengan itu, terima kasih kepada semua penerbit, pengarah, rakan sekerja dan ahli krew kerana telah memberi saya antara kenangan terbaik dalam hidup.

“Saya juga selalu mengatakan peminat saya adalah kawan saya. Mereka sentiasa bersama saya sepanjang perjalanan saya. Terima kasih atas sokongan selama ini dalam apa jua yang saya lakukan.

“Berlakon bukanlah minat saya, tetapi saya belajar untuk mencintai dan menikmati proses itu. Saya bertuah kerana dapat bekerja bersama yang terbaik dalam industri.

“Dan selepas 25 tahun sebagai pelakon itu bukan perjalanan yang terlalu buruk bukan?,” tanyanya.

Kata Datuk Hans, walaupun tidak akan berkarya dalam bidang seni lagi selepas ini, dia akan terus menyokong industri seperti selalu dan membayangkan beberapa projek melibatkan pawagam, pengurusan dan mungkin juga pertunjukan pentas bersama rakan baik, Datuk Awie dan Afdlin.

“Harapan saya adalah untuk mengarahkan satu lagi teater muzikal di Istana Budaya suatu hari nanti dan akan terus meluangkan masa untuk membina empayar saya’, katanya penuh harapan.

Mengimbau kembali sejarah penglibatan karier seni Datuk Hans, semuanya bermula apabila Datin Paduka Shuhaimi Baba memberi peluang kepadanya berlakon dalam filem Ringgit Kasorrga pada tahun 1995.

Ia berkembang baik dengan penglibatan dalam lebih kurang 30 filem cereka, sejumlah besar drama dan rancangan TV.

Beliau juga diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, Lakon Layar serta memenangi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik bagi Buli Balik bersama Afdlin Shauki.

Kami warga kerja The Malaya Post mengucapkan selamat maju jaya kepada Datuk Hans dalam bidang keusahawanan yang dipilihnya.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply