Datuk, Datin didakwa jadikan kediaman peribadi markas judi

0

Menjadikan kediaman sebagai markas perjudian, seorang ahli perniagaan dikenali sebagai ‘Datuk Ken’ dan isterinya didakwa di Mahkamah Majistret, hari ini, atas empat tuduhan.

Tertuduh, Liow Lian Keong, 40, dan isterinya, Chen Lye Kuen, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Lian Keong didakwa atas tiga tuduhan.

Ia termasuk menggunakan kediaman miliknya di Bandar Country Homes, Rawang, sebagai rumah perjudian terbuka, antara jam 5.15 hingga 6.15 petang, pada 6 Julai lalu.

Sementara itu, Lye Kuen didakwa menjadikan kediaman miliknya di Bandar Country Homes, Rawang sebagai rumah judi terbuka, jam 5.30 petang, pada tarikh sama.

Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001).

Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum hingga tiga tahun, denda maksimum hingga RM50,000 serta boleh dikenakan denda dengan jumlah sama bagi setiap mesin judi dirampas.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM7,000 bagi setiap pertuduhan.

20 Disember ini ditetapkan sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Terdahulu media melaporkan, Datuk Ken menjadikan empat rumah di sekitar kawasan Country Homes, Rawang, Selangor, sebagai markas operasi.

12 lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 17 hingga 40 tahun dicekup pada 6 Julai lalu kerana menjalankan aktiviti mempromosikan perjudian dalam talian sejak setahun lalu.

Susulan penahanan 13 individu itu, polis berjaya memberkas suspek utama iaitu Datuk Ken bersama isterinya di sebuah rumah di Rawang pada 11 Ogos lalu.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply