Dato’ Seri Najib Razak akan melakukan sumpah laknat nafi dakwaan akuan bersumpah Azilah Hadri selepas solat Jumaat di Masjid Jamek, Kg Baru

0

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Razak menulis di laman Facebook miliknya akan melakukan sumpah laknat bagi menafikan dakwaan yang terkandung dalam akuan bersumpah bekas anggota Unit Tindakhas (UTK), Azilah Hadri.

“Saya berhasrat melakukan sumpah laknat menafikan dakwaan yang terkandung dalam Akuan Bersumpah yang dikeluarkan Azilah Hadri.”

Sumpah laknat berkaitan fitnah terhadap dirinya mengenai kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu itu akan diadakan di Masjid Jamek Kampung Baru, ibu negara selepas solat Jumaat minggu ini.

“Sumpah laknat ini akan saya buat di Masjid Jamek Kampung Baru di ibu negara sejurus selepas solat Jumaat minggu ini,” tulisnya

Terdahulu, dilaporkan Azilah dan bekas anggota polis Sirul Azhar Umar mendapat arahan secara terus daripada bekas Presiden UMNO, Najib Razak untuk membunuh Altantuya.

Dikatakan kerana Altantuya yang merupakan seorang perisik Rusia itu menyimpan banyak maklumat penting mengenai pertahanan negara.

“Saya menyatakan bahawa sepanjang perjalanan operasi sulit ini saya bertindak mengikut arahan daripada TPM yang juga Menteri Pertahanan berdasarkan maklumat sepertimana yang diberikan Razak Baginda dan DSP Musa, dan saya percaya sepenuhnya bahawa ini adalah operasi sulit yang melibatkan perisikan dan hal ancaman keselamatan negara dengan tahap kerahsiaan yang tinggi.

“Saya tidak ada motif untuk merancang atau membunuh Altantuya Shaariibuu melainkan atas arahan yang diberikan kepada saya sebagai seorang pegawai operasi yang bertindak sebagai ‘assault commander’ Unit Tindakhas (UTK) PDRM yang terlibat dengan pelbagai operasi keselamatan negara dan ketenteraman awam,” ujar Azilah.

Kenyataan tersebut telah dilakukan, diikrar diakui oleh Azilah bin Hadri.

Leave a Reply