Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bersama 10 Ahli Parlimen blok bebas sokong penuh Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri kelapan

0

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bersama 10 Ahli Parlimen blok bebas menyatakan pendirian sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri untuk sepenuh penggal Parlimen Ke-14.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan media berkata mereka telah menegaskan perkara berkenaan di dalam mesyuarat tertutup parti dan juga secara terbuka.

Tindakan yang mereka ambil adalah berpaksikan aspirasi rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang stabil, perpaduan yang kukuh dan penumpuan kepada usaha untuk memulihkan serta menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Tambahnya, mereka yakin ia merupakan mandat sebenar yang telah diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Kumpulan mereka tergolong daripada pelbagai kaum, agama dan wilayah yang mengutamakan persefahaman antara kaum, agama dan kebudayaan.

Malahan kini mereka sedang menunggu giliran untuk menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk ditemubual.

Mereka kini sedang menangani isu-isu berkaitan secara berperingkat dan langkah yang diambil bagi menunjukkan perkembangan positif dan meyakinkan.

Kelmarin, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengisytiharkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan muafakat Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk blok bebas di Parlimen.

Dalam satu kenyataan media yang dimuat naik di laman Twitter miliknya, beliau turut menyenaraikan 11 nama Ahli Parlimen yang terlibat.

Antaranya Hajjah Zuraida Kamaruddin (Ahli Parlimen Ampang), Dato’ Saifuddin Abdullah (Ahli Parlimen Indera Mahkota), Baru Bian (Ahli Parlimen Selangau).

Ia termasuk Dato’ Kamaruddin Jaffar (Ahli Parlimen Bandar Tun Razak), Dato’ Mansor Othman (Ahli Parlimen Nibong Tebal), Dato’ Rashid Hasnon (Ahli Parlimen Batu Pahat), Dato’ Seri Dr. Santhara Kumar (Ahli Parlimen Segamat), Ali Biju (Ahli Parlimen Saratok).

Selain itu, Willie Mongin (Ahli Parlimen Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ahli Parlimen Ranau) turut bersama-sama Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali. –THE MALAYA POST

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply